HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

Rafizi: Api neraka menunggu hakim jika Anwar disabit meliwat

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli memberitahu panel hakim kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “api neraka”  menunggu mereka jika “keputusan zalim” dibuat terhadap Ketua Pembangkang itu.
 
Amaran Rafizi itu dilihat sebagai cubaan licik untuk mengenakan tekanan terhadap lima hakim Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar.
 
"Saya nak ingatkan lima hakim yang berada di dalam dan hakim di luar. Ingat pesan Rasulullah, hadis diriwayatkan daripada Abu Daud bahawa ada tiga golongan hakim, satu golongan masuk syurga, dua golongan lagi masuk neraka,” kata beliau.
 
"Kalau hakim itu pandai, tahu yang hak tetapi dihakimi dengan zalim dan perkara batil, akhirnya mereka masuk neraka,” kata Rafizi.
 
"Golongan kedua, golongan bodoh, tidak tahu fakta dan perkara, atas kebodohan itu dia buat peghakiman menzalimi orang. Akhirnya dia masuk neraka," katanya ketika berucap di hadapan 100 hadirin di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.
 
Rafizi berkata hakim seharusnya menjadi golongan takut kepada Allah dan bukan kepada pemerintah bagi memastikan keadilan.
 
"Kalau hakim itu korup, boleh dibeli, bobrok dan hina, maka tiada keadilan dalam masyarakat,” katanya.
 
"Kalau hakim itu berani dan lebih takutkan Allah daripada penguasa, barulah ada keadilan dan rahmat dalam masyarakat," katanya.
 
Anwar dan penyokong-penyokongnya sebelum ini memuji hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.
 
Bagaimanapun mereka lantang mengecam panel hakim Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan itu, sebaliknya mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat itu Mac lalu.  
 
Anwar dikenakan hukuman penjara lima tahun.
 
Setakat ini Anwar memberi dalil bahawa badan kehakiman di bawah telunjuk kerajaan jika panel hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan beliau atas tuduhan meliwat itu.
 
Sebaliknya, beliau mendakwa jika terlepas daripada tuduhan meliwat itu, maka ia akan membuktikan badan kehakiman adalah bebas.

Tiada ulasan: