KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan penganjur 'I Want To
Touch A Dog' pada 6 November depan bagi mendapatkan penjelasan sebenar
mengenai penganjuran program itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata pertemuan di Putrajaya itu turut disertai oleh Majlis Agama
Islam Selangor (Mais).
"Dalam pertemuan itu nanti, kita nak memahami penganjuran program
tersebut. Apakah ada agenda terselindung atau agenda selain daripada
kebiasaan kerana lazimnya semua masyarakat pun memahami menyentuh
anjing secara sengaja tidak dibenarkan dalam Islam.
"Islam dilihat sebagai agama yang menyantuni semua makhluk termasuk
haiwan seperti anjing, namun, menyayangi haiwan ini ada tahapnya,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Rumahku Syurgaku
2014 di Kuala Lumpur, hari ini.
Jamil Khir berkata Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan
sebarang tindakan undang-undang memandangkan jabatan itu hanya bertindak
sebagai perantara.
"Dalam konteks undang-undang, tidak ada yang menyebut tidak boleh
memegang anjing, tetapi peruntukan lain ialah menjaga fatwa yang
dikeluarkan oleh mufti di setiap negeri (mengenai hukum menyentuh
anjing). Itu yang harus kita ambil kira," katanya.
Beliau juga meminta majlis dan jabatan agama Islam di seluruh negara
supaya peka dengan setiap penganjuran program supaya tidak wujud unsur
melanggari batasan agama.
Program 'I Want To Touch A Dog' pada 19 Oktober itu di Central Park,
One Utama, Petaling Jaya mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam
kalangan umat Islam kerana ia dikatakan bercanggah dengan mazhab Shafie
dan adat di negara ini.
Sabtu lepas, penganjur program Syed Azmi Alhabshi memohon maaf atas
perasaan tidak senang yang timbul akibat perbuatan segelintir peserta
memeluk dan mencium anjing semasa program berlangsung.
Terdahulu, Jamil Khir turut melancarkan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial
dan Komuniti (PKKSK) yang akan dibuka di Pusat Transformasi Bandar (UTC)
dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi memudahkan orang ramai
mendapatkan khidmat nasihat berkenaan kekeluargaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan