HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2014

UM bukan milik awam tapi kawasan persendirian, kata Menteri Pendidikan

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) adalah tanah persendirian dan bukannya milik awam, justeru tindakan merempuh masuk insitusi itu adalan satu kesalahan, kata Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, tindakan sewajarnya sedang dijalankan dan pengurusan universiti itu akan mengambil tindakan kepada individu yang bertanggungjawab ke atas insiden itu.
 
Malah laporan polis sudah dibuat pihak pengurusan pada Selasa lalu.
 
Sehari sebelum kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, UM dirempuh mahasiswa dan pengikut Ketua Umum PKR itu, hingga mengakibatkan pagar utamanya rosak.
 
Ini berikutan pengurusan universiti itu tidak membenarkan penganjuran pidato '40 Tahun Dari UM Ke Penjara' anjuran Persatuan Mahasiswa Univerisiti Malaya (PMUM).
 
"Kawasan universiti adalah kawasan persendirian, jadi sesiapa masuk tanpa kebenaran itu satu kesalahan.
 
"Tambahan kalau melakukan kesalahan yang saya lihat dalam gambar di media yang berbentuk keganasan," kata Muhyiddin, mengulas tindakan pelajar UM dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pidato di Dataran Dewan Tunku Canselor di UM.
 
Mengenai tindakan pihak universiti, Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata UM sudah memaklumkan kepadanya dan tindakan bakal diambil.
 
"Saya dapat maklum bahawa perkara itu sedang diperhalusi pentadbiran universiti, timbalan canselor dan naib timbalan canselor, serta hal ehwal pelajar.
 
"Jika mereka ternyata terbukti pelanggaran, baik daripada segi peraturan universiti di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), atau berkaitan dengan soal undang-undang lain daripada segi kanun jenayah atau undang-undang keselamatan, maka terserah kepada pihak universiti untuk mengambil tindakan yang sesuai," katanya.
 
Muhyiddin juga menafikan Putrajaya campur tangan dalam hal pentadbiran UM seperti didakwa semasa kontroversi program pidato tersebut.
 
"Ini adalah urusan universiti, pihak kementerian tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran universiti.
 
"Baik dari segi kegiatannya atau dari segi proses pembelajaran, pendidikan, pengajian dan sebagainya atau urusan yang lain, termasuk yang berlaku di UM baru-baru ini," katanya.

Tiada ulasan: