KUALA LUMPUR: Suami kepada Nurul Izzah Anwar enggan menceraikan
isterinya yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai kerana masih
menyayanginya dan ingin menyelamatkan perkahwinan mereka.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, 35, memberitahu perkara itu
kepada pemberita selepas kesnya disebut di dalam kamar di hadapan Hakim
Syarie Mahkamah Rendah Syariah, Ab Malek Awang.
"Saya tidak bersetuju menceraikan isteri kerana masih sayangkannya dan
anak-anak," katanya yang kelihatan sugul selepas prosiding itu.
Prosiding kes itu yang berlangsung dalam masa 40 minit turut dihadiri isterinya, Nurul Izzah.
Terdahulu, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Raja Ahmad
Shahrir memaklumkan, Hakim Syarie Ab Malek hari ini mensabitkan wujudnya
'Shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu berdasarkan
laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Azmi berkata, mahkamah juga menasihatkan defendan (Raja Ahmad Shahir)
untuk melafazkan cerai, namun anak guamnya itu tidak bersetuju dan
memasukkan bantahan terhadap laporan JKP tersebut hari ini atas alasan
laporan berkenaan ringkas dan tidak lengkap.
"Laporan daripada pengerusi JKP tidak menyatakan secara terperinci masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan itu," katanya.
Peguam syarie itu berkata, pihaknya juga memohon supaya diadakan satu
lagi perbincangan JKP yang baharu tetapi ia dibantah oleh peguam Nor
Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.
Azmi berkata mahkamah kemudiannya menerima bantahan daripada pihak
plaintif (Nurul Izzah) dan menetapkan 8 Disember depan untuk lantikan
'Hakam'.
'Hakam' adalah sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk
menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan
maka 'Hakam' tersebut akan melafazkan talak bagi pihak suami.
Nurul Izzah, 34, anak sulung ketua pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal
Januari.
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003
dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang
anak lelaki berusia empat tahun.
Nurul Izzah yang enggan mengulas mengenai kemelut rumah tangganya hanya
berkata: "Terima kasih kerana menghormati privasi saya". - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan