HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2014

Saya tidak faham dan saya hairan


Oleh Mohd Nadzri Kamsin

 
Saya tidak faham kenapa diwujudkan sebuah lagi syarikat dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) dengan nama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan kita mempunyai Khazanah Nasional Berhad yang sudah beroperasi lebih dua dekad?

Saya hairan melihat semua dana yang digerakkan 1MDB setakat ini semuanya dikumpul melalui penerbitan bon melibatkan nilai berbilion ringgit. Bon adalah instrumen hutang yang perlu dibayar kemudian hari. Persoalannya, adakah 1MDB merupakan satu dana kekayaan negara atau dana hutang negara (sovereign debt fund)?

Saya tidak faham kenapa sebuah syarikat yang tidak sampai setahun ditubuhkan sudah mempunyai keyakinan luar biasa untuk menerbitkan bon RM5 bilion dengan tempoh kematangan luar biasa sehingga mencecah 30 tahun dengan kadar bayaran faedah yang agak tinggi, 5.75%?


Saya hairan melihat dari tahun ke tahun 1MDB agresif menerbitkan bon berbilion ringgit tanpa henti dan sehingga kini ia mengumpul nilai hutang pokok bernilai lebih RM36 bilion.

Saya tidak faham kenapa sebuah syarikat yang tidak sampai sedekad usianya sudah lebih daripada sekali lewat dalam menyiapkan laporan kewangan tahunan dan diberikan layanan khas oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan diberi tempoh penangguhan?

Kebiasaannya, ada dua sebab utama kenapa sesebuah syarikat lewat menghantar laporan kewangannya. Pertama, pengurusan rekod kewangan syarikat berserabut dan memerlukan auditor mengambil masa lebih lama untuk menyediakannya disebabkan terdapat banyak kelemahan dalam aspek dokumentasi.

Kedua, syarikat terbabit sebenarnya mempunyai tujuan untuk menipu dan memberi maklumat palsu dalam membentang kedudukan sebenar kewangannya. Kadang-kala, ada syarikat yang mengalami kedudukan kewangan lemah tetapi masih mempunyai nafsu memperlihatkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan bermain silap mata dalam laporan perakaunan.

Saya harap bukan sebab kedua yang menjadi punca kelewatan penghantaran laporan kewangan 1MDB.

Saya hairan melihat KPMG yang dilantik sebagai auditor digugurkan dan diganti dengan auditor lain, Deloitte selepas 1MDB lewat dalam menyiapkan laporan kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013. Tidak dinyatakan sebab dan tujuan penggantian auditor yang dilakukan secara tiba-tiba.

Persoalannya, adakah KPMG tidak efisien dalam menjalankan kerja pengauditan atau disebabkan terjadinya ‘salah faham’ antara 1MDB dan KPMG dalam menafsirkan kedudukan sebenar kewangan 1MDB atau perkara lain yang dirancang untuk disembunyikan dalam laporan?

Saya tidak faham kenapa sebanyak AS$2.32 bilion dilaburkan di Pulau Cayman walaupun Malaysia mempunyai Pulau Labuan sebagai pusat kewangan pesisir antarabangsa yang sepatutnya diutamakan?

Saya hairan kenapa perlu dirahsiakan identiti pengurus dana dan portfolio dana pelaburan 1MDB di pulau tersebut. Walaupun diasak banyak kali, pelaburan 1MDB di Pulau Cayman masih terus menjadi misteri dan menimbulkan 1,001 persoalan.

Memang aneh melihat 1MDB terlalu berahsia mengenai duit yang dilaburkan di sana. Saya tidak nampak sebarang keuntungan strategik dengan tidak mendedahkan maklumat yang telus tentang pelaburan dibuat. Sudah menjadi amalan syarikat besar bertaraf berhad yang terlibat dalam pelbagai pelaburan melaporkan maklumat pengurus dana dan portfolio pelaburan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan jumlah dana bernilai bilion ringgit.

Saya tidak faham dan saya hairan.

Saya berharap pihak Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan 1MDB berhenti seketika, berfikir dan membuat refleksi diri. Jangan terlalu ghairah, nanti akan makan diri. Kalau hanya makan diri anda semua, saya tidak kisah. Rakyat Malaysia pun tidak kisah. Jangan pula di belakang hari, keghairahan dan kerakusan anda meminjam duit akan bertukar menjadi beban hutang negara dan duit rakyat menjadi mangsa.

Tiada ulasan: