MALAYSIAKINI
Pemuda PAS menyelar kebiadaban NGO Sister in Islam yang didakwa mencabar
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan kumpulan yang berpegang
kepada liberalisme dan pluralisme.
Timbalannya Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa tindakan NGO itu
mencabar institusi Raja Melayu dan perlembagaan yang meletakkan Islam
sebagai agama persekutuan.
Dalam kenyataanya, beliau juga mendakwa NGO itu menyebarkan Islam secara terpesong tanpa sumber-sumber hukum yang nyata.
"Tindakan
SIS itu mencabar institusi Raja Melayu yang menjadi payung naungan
Islam di negara ini serta Perlembagaan Negara yang telah meletakkan
Islam sebagai agama persekutuan.
"Pemuda PAS menyokong dan berdiri teguh bersama Majlis Fatwa Kebangsaan
dalam keputusan ini dan merasa kesal atas keengganan SIS untuk akur
dengan keputusan tersebut seterusnya bertaubat dan bermuzakarah dengan
pihak berwajib bagi membetulkan kesilapan," katanya.
Khalil mengulas laporan media berhubung tindakan SIS yang memfailkan
permohonan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar fatwa yang
mengharamkan pihak yang "mengakui berfahaman liberalisme arau pluralisme
agama."
Anak lelaki kepada presiden PAS itu berkata parti itu tegas menolak
liberalisme dan pluralisme apabila muktamar pada 2009 meluluskan usul
PAS Shah Alam yang meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan
menyiasat dan mengharamkan NGO itu.
Khalid berkata tindakan SIS mencabar fatwa itu ke mahkamah hanya
meluaskan sengketa dan degil untuk menjebak masyarakat awam kepada
aliran songsang yang dinamakan dengan Islam.
"Inilah satu bentuk pelampau agama yang mesti ditangani pihak kerajaan agar ia tidak membarah dalam masyarakat.
"Kerajaan boleh mencontohi tindakan tegas Majlis Ulama Indonesia yang
memfatwakan haram kepada Jaringan Islam Liberal yang membawa pengaruh
sama seperti SIS di Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya berwaspada dengan
agenda pihak tersebut yang didakwanya sewenang-wenang mentafsir dan
membentuk amalan bertentangan Islam.
"Sentiasalah merujuk para alim ulama dalam perkara ini kerana kita tidak hanya akan hidup di dunia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan