Roketkini.com
KUALA LUMPUR- Mengambil semangat pasukan bola sepak Manchester United, Lim Guan Eng berkata Pakatan Rakyat akan berjuang berhabis-habisan bagi menentang cubaan kedua kerajaan BN untuk menyumbat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara.
“Saya sentiasa mengagumi semangat pasukan Manchester United di bawah Sir Alex Ferguson, yang tidak pernah mengaku kalah sehingga wisel penamat.
“Jadi, kami ambil semangat berpasukan ini dan akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga saat terakhir,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen tengah hari tadi.
Nasib Anwar bakal diputuskan dalam sesi rayuan di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman Putrajaya dijangka di hadapan panel lima hakim pada 28 dan 29 Oktober ini.
Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini berkata bahawa seolah-olah ada dorongan kuat di kalangan pihak berkuasa yang ingin menyingkirkan pembangkang, dengan ‘apa jua cara’ termasuk memenjarakan Anwar.
Tindakan itu, kata Kit Siang, bercanggah dengan prinsip wasatiyah atau kesederhanaan yang dicanangkan Perdana Menteri.
Namun kata Guan Eng, Pakatan tetap bersedia untuk menghadapi ‘yang terburuk’ jika keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Anwar.
“Jika perkara yang tidak diingini tetap berlaku, Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk membuat persediaan jika Anwar dipenjara.
“Ini menunjukkan kesungguhan pimpinan Pakatan (untuk meneruskan perjuangan),” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen diadakan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan.
Antara pimpinan yang hadir adalah termasuk Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan