Angkasa mengesahkan laporan yang memetik kenyataan Bolden mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari adalah tidak benar.
AUTA
PRESIDEN Agensi Angkasa Amerika Syarikat (Nasa), Charles Bolden berkata, perkara ini berlaku disebabkan ribut suria yang dihasilkan oleh matahari pada 20 Disember ini.
“Pada hari berkenaan, ion-ion akan menyelubungi planet ini dan melawan cahaya matahari yang diperbuat daripada proton-proton,” katanya.
Menurutnya, ion ini akan hilang disebabkan pereputan radioaktif untuk menghasilkan gas helium dan tempoh pereputan ini akan berlaku selama tiga hari.
Katanya, selepas proses pereputan ini selesai, barulah cahaya matahari akan sampai ke bumi iaitu pada 24 Disember.
“Namun, perkara ini bukan sesuatu yang sangat serius dan akan menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.
Menurut Charles, beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak melakukan perkara yang sangat drastik.
FAKTA
Laporan yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari berturut-turut bermula 21 hingga 23 Disember ini adalah palsu.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan berkata, laporan yang kononnya memetik kenyataan daripada Presiden Nasa, Charles Bolden adalah tidak benar sama sekali
“Pihak kami membuat pemeriksaan ke atas laman sesawang Nasa di http://science. nasa.gov/. Namun, tiada sebarang berita berkenaan di laman web mereka seperti yang dipetik dalam artikel tersebut.
“Selain itu, sumber lain yang diambil juga tidak dapat dicari untuk sebarang pengesahan. Ia menunjukkan penipuan di sebalik artikel ini,” katanya.
Laporan itu menjadi viral di media sosial kononnya ribut suria yang dihasilkan oleh matahari akan menyebabkan bumi bergelap.
Artikel palsu ini telah tersebar sejak tahun 2012 bersama dengan khabar angin bahawa kiamat akan berlaku pada Disember 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan