HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Oktober 2014

Tidak mampu pertahan ummah faktor ramai muslim sertai jihad - Tun M

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Ketidakmampuan negara Islam mempertahankan ummah adalah satu faktor menyebabkan semakin banyak umat Islam menjadi pejuang jihad, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Beliau berkata jika orang Islam kecewa, dan bagi orang kebanyakan yang tidak mempunyai kuasa, mereka mungkin memikirkan hanya satu jalan mereka boleh menyumbang iaiitu dengan menjadi pejuang jihad.
 
"Untuk memujuk orang menyertai mereka, mereka akan berkata ia adalah jihad berjuang untuk Islam, tetapi ia tidak akan menghasilkan keputusan yang diingini," katanya semasa sesi soal jawab di Forum Islam Antarabangsa di sini hari ini.
 
Dr Mahathir yang juga Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana berkata, mereka juga mempromosikan idea bahawa mereka yang syahid atau mati semasa berjihad akan masuk syurga.
 
"Al-Quran berkata dengan jelas bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Tetapi bagaimana kamu boleh ke syurga apabila kamu membunuh saudara Islam kamu sendiri?" katanya.
 
"Kita kena kembali kepada al-Quran dan memahami bahawa terdapat had yang boleh kita pergi dan jangan biarkan orang lain merampas kefahaman mengenai Islam," katanya.
 
Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama khas yang menyentuh kedudukan Dunia Islam di Tengah-Tengah Orde Baru Dunia sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Putrajaya 2014.
 
Acara selama empat hari yang bermula semalam itu mempunyai 200 program dan aktiviti yang menarik seperti pameran buku Islam antarabangsa, pameran Masjid Al-Aqsa, pertunjukan fesyen Muslimah dan Selawat Bersama Habib Syeikh Assegaf.

Tiada ulasan: