kwsp
 
 
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya agar tidak bersubahat dengan sindiket atau ejen yang menawarkan bantuan mengeluarkan simpanan mereka dengan cara penipuan.
  
Ketua Hal Ehwal Korporatnya Nik Affendi Jaafar berkata KWSP memandang serius penipuan pengeluaran kerana ia merupakan kesalahan serius serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang terlibat.
 
"Ahli yang menghadapi masalah kewangan diingatkan agar berhati-hati dengan iklan di beberapa laman web atau ejen yang mengedarkan kad perniagaan dan risalah dengan menawarkan pekhidmatan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Affendi berkata KWSP tidak pernah melantik atau meluluskan perkhidmatan pihak ketiga untuk mempercepatkan permohonan pengeluaran dan ahli yang ingin membuat pengeluaran boleh terus berhubung dengan KWSP yang menawarkan khidmat pengeluaran percuma.
  
Katanya KWSP juga mempunyai sistem komprehensif untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan untuk menipu pengeluaran walaupun selepas simpanan tersebut dikeluarkan.
 
Beliau menambah penipuan pengeluaran termasuk penghantaran dokumen palsu oleh ahli dengan tujuan untuk mempercepatkan kelulusan pengeluaran merupakan kesalahan mengikut Akta KWSP 1991 yang boleh dikenakan hukuman maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Katanya, dari Julai hingga September tahun ini, lapan ahli telah didakwa di mahkamah manakala enam saman turut difailkan terhadap ahli yang menipu sepanjang tempoh berkenaan.
  
Sementara itu, ahli yang berdepan dengan sebarang kegiatan cubaan menipu atau penipuan pengeluaran KWSP digesa melaporkannya dengan menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di talian 03-26162121 pada waktu pejabat Isnin hingga Jumaat. - Bernama