Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Penganalisis jenayah terkenal Kamal Affendi Hashim percaya penglibatan rakyat Malaysia dalam kemelut Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (IS) disebabkan salah faham terhadap sesuatu fakta.
"Kebanyakan rakyat kita dikelirukan oleh beberapa fakta dan hanya
menyangka perjuangan yang dilakukan di negara-negara Timur Tengah itu
boleh mendapat pahala yang tinggi.
"Sedangkan Allah SWT bukan berada di sana sahaja, sebaliknya di segala
isinya. Maknanya sesiapa yang membuat kebaikan walaupun di negaranya
sendiri tetap akan diberikan pahala yang setimpal," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Beberapa hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil
Khir Baharom berkata Majlis Fatwa merumuskan mereka yang sanggup
berjuang di Syria atas nama ISIS adalah bertentangan dengan hukum
syarak.
Rumusan itu dibuat Majlis Fatwa kerana berdasarkan kajian dan
hujah-hujah melalui nas-nas syarak didapati umat Islam, bukan saja di
negara ini malah di seluruh dunia masih lagi keliru berhubung konteks
jihad dan mati syahid.
"Ia sebenarnya pertembungan yang berpunca daripada perbezaan pandangan
sama ada politik atau kecenderungan seseorang. Dan ia akhirnya menjadi
satu peperangan," ujar Kamal lanjut.
Jumlah suspek militan Malaysia yang ditahan Bahagian Anti Pengganas kini meningkat kepada 22 orang sejak 28 April lalu.
Kerajaan turut mengumumkan akan memerangi kumpulan militan ISIS dan
membendung penglibatan rakyat dalam menyertai gerakan tersebut.
Minggu lalu pula kerajaan mengesahkan seramai 39 rakyat Malaysia
termasuk seorang wanita terlibat dengan gerakan militan Negara Islam
Iraq dan Syria (ISIS).
Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan belum mengenal pasti sama ada kumpulan itu terlibat dengan aktiviti Jihad Al-Nikah.
Jihad Al-Nikah atau jihad seks merujuk kepada konsep kontroversi di
mana wanita Sunni dikatakan menawarkan diri untuk memenuhi keperluan
seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.
"Pihak berkuasa ada mengambil tindakan berterusan kepada mereka yang
menyokong, sama ada sokongan secara logistik, kewangan dan sebagainya.
Cuma yang menjadi masalah, jika ia berterusan, akan menyebabkan pengaruh
itu meresap dan akan membahayakan keselamatan tempatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan