HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

KJ gagal mengumpan Adam ke dalam Umno




Oleh Mariam Mokhtar


Dengan rambutnya yang panjang mengurai dan sepasang matanya yang kuyu, Adam Adli telah menjadi simbol gerakan golongan muda di Malaysia. Lelaki yang bersopan santun ini tidak seperti imej aktivis pemuda yang sering digambarkan.

Di sudut lain kita saksikan Khairy Jamaluddin, ketua pemuda Umno Baru yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Beliau sering mengenakan sut di majlis rasmi dan memukau pengunjung terutama wanita-wanita Melayu.

Seorang wanita mengaku mengimpikannya kerana beliau bertutur Bahasa Inggeris yang baik berbanding orang Melayu lain. Wanita-wanita ini jenis sombong kerana hanya memandang tinggi graduan Universiti Oxford seperti Khairy.

Latar belakang kedua-dua individu ini amat berbeza. Bapa Adam pekerja perkhidmatan keretapi dan kerana kesihatannya terjejas, dia bersara. Bapa Khairy pula seorang diplomat dan keluarganya kerap tinggal di luar negara, menikmati percutian percuma. Beliau dididik di sekolah antarabangsa. Adam pula bersekolah di sekolah kebangsaan di Bangsar dan Pulau Pinang.

Adam tahu benar kesusahan yang ditanggung rakyat jelata dan melalui interaksinya dengan masyarakat, beliau sedar kebimbangan mereka. Adam juga membantu keluarganya menjual nasi lemak bagi menjana pendapatan. Mengikut cerita yang sering kedengaran, peluang Khairy pula hanya terbuka selepas mengahwini anak perempuan Perdana Menteri terdahulu. Maka mereka ini umpama langit dan bumi sebenarnya.

Pengalaman Adam selaku aktivis bermula di bangku sekolah rendah lagi apabila beliau menerajui protes terhadap peperiksaan, walaupun telah menduduki UPSR. Adam berjaya dan meneruskan perjuangannya.

Pada pertengahan bulan Oktober, beberapa rakan mengajak Adam menghadiri majlis Akademi Kepimpinan Pemuda Umno yang diterajui Kapten Hussein (Akhi), di mana Khairy turut serta berbicara soal evolusi politik golongan muda.

Adam keluar di pertengahan majlis kerana telah menyaksikan sendiri “kehebatan” Khairy.

Khairy kecewa kerana Adam tidak menunggu sehingga segalanya tamat. Khairy memberitahu hadiran bahawa Adam berada di majlis itu. “Namun dia sudah keluar, dan saya tidak dapat memberinya borang pendaftaran Umno Baru,” jelasnya.

Khairy mendapat tepukan gemuruh kerana kenyataan itu. Ia seperti lawak tak berkualiti yang dibuat Sharifah Zohra Jabeen ketika dia menempelak KS Bawani di Universiti Utara Malaysia beberapa tahun dulu. Bawani cuma ingin bertanya apabila Zohra, presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), memberitahunya “Listen, listen, listen” hampir sepuluh kali dengan menuding jari ke muka Bawani.

Adakah Umno Baru tidak tahu cara menerangkan sesuatu kepada golongan muda dengan baik?

Khairy gagal menggunakan kesempatan memberi borang Umno Baru kepada Adam. Adakah beliau mahu menggunakan fotonya bersama-sama Adam sebagai propaganda di kemudian hari? Beliau mengingatkan golongan muda agar tidak mengikut contoh Adam. Khairy berkata “Kita tak mahu pemimpin radikal sepertinya”. Satu lagi tepukan gemuruh diberi.

Seorang pengkritik secara sinis berkata, “Adakah peserta sedar Khairy menggesa mereka menjadi pengikut yang hanya mematuhi arahan tanpa banyak bertanya? Kebanyakan pemimpin dunia hari ini pernah menjadi pemimpin pelajar radikal.”

Adam mula dikenali selepas menurunkan bendera dengan wajah Najib Abdul Razak dari tiang bendera di hadapan ibupejabat Umno-Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 2011.

Walaupun ditangkap, dia enggan memohon maaf. Adam tahu terdapat dasar mendiskriminasi dan isu pengurusan lemah di universiti-universiti tempatan.

Adam bertanya: “Mengapa perlu pelajar takut kepada mereka yang kita pilih? Mereka perlu bekerja untuk kita. Jangan takut mengkritik pemimpin tak kira siapa anda.”

Beliau sedar akan dikenakan tindakan. Namun Adam telah bersedia dan memberitahu rakan-rakan, “Saya tak mahu pelajar universiti bertindak agresif dalam memprotes, tetapi bertindak kreatif.”

Kehidupannya dipenuhi pengorbanan dan perjuangan. Beliau berpendirian teguh dan mahu berbincang sambil menyelesaikan keperluan populasi pelajar. Khairy pula hidup selesa dan di dalam Umno-Baru, wang adalah raja.

Adakah Khairy mahu mengumpan Adam menyertai Umno Baru? Adakah beliau mahu memberitahu para hadirin bahawa sekiranya Adam bersetuju, dakwaan hasutan terhadapnya mampu digugurkan?

Jika itu yang difikirnya, Menteri Belia ini telah memandang rendah seterunya. Prinsip, fokus serta melakukan sesuatu sebaik mungkin merupakan sikap-sikap terpuji. Nampaknya, semakin tinggi kedudukan seseorang dalam Umno Baru, semakin sombong jadinya.

Adam menolak dan Khairy kecewa. Apa boleh buat? Khairy perlu belajar berpegang kepada prinsip daripada hanya mementingkan Umno Baru. Itu sesuatu yang boleh dipelajarinya dari Adam Adli

Tiada ulasan: