HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

BN sokong operasi ‘Gempur Aurat’ di Kelantan

 
Walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza dengan kerajaan Kelantan dibawah pentadbiran PAS, namun perkara yang memberi kebaikan kepada agama dan masyarakat akan dipersetujui BN..
aurat-wanita

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail bersetuju dengan keputusan kerajaan Kelantan untuk mengenakan tindakan kepada rakyatnya yang tidak menutup aurat.

Katanya, walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza dengan PAS di Kelantan, namun perkara yang memberi kebaikan kepada agama dan masyarakat akan dipersetujui Barisan Nasional (BN).

“Bagi saya perkara yang melibatkan hukum Allah bukan bergantung kepada mana-mana parti politik kerana itu merupakan hukum dalam agama Islam yang mewajibkan umat Islam melaksanakanya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mat Razi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Wanita Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Nor Azarida Mohd untuk melaksanakan operasi ‘Gempur Aurat’ khususnya untuk peniaga di Kelantan.

Azarida menjelaskan operasi tersebut akan bermula dari September sehingga Disember 2014.

Tindakan ini berikutan ramai peniaga yang didapati mula leka dengan peraturan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Operasi Gempur Aurat dan kompaun maksimum RM500 yang dikenakan kepada peniaga yang melanggar arahan dan ia diharap akan menjadi pengajaran, sekali gus mengingatkan mereka tentang kewajipan menutup aurat,” katanya.

Azarida menambah, menurut laporan Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI setakat ini sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan terhadap peniaga kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan sejak mula dilaksanakan operasi tersebut.

Tiada ulasan: