HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Oktober 2014

Hapus Judi Haram Dalam Seminggu - Polis

Oleh: THE STAR 
 
 
 
 
 
SEPANG: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yakin dapat membasmi operasi perjudian haram dalam masa seminggu iaitu tempoh yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, keyakinan itu berdasarkan serbuan selama empat hari oleh pasukan itu.

"Kami akan pertingkatkan usaha," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Beliau berkata dalam tempoh empat hari bermula Ahad lalu, polis menyerbu 3,665 premis, menangkap 364 orang dan merampas 3,015 mesin judi.

"Jika anda membandingkan jumlah serbuan dan tangkapan antara Januari dan September tahun lalu untuk tempoh yang sama, terdapat peningkatan yang ketara," katanya.

Sebanyak 65,361 serbuan dengan 26,121 tangkapan dibuat tahun ini berbanding 57,399 dan 19,079 tangkapan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 11.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Mohmad berkata, jumlah mereka yang didakwa di mahkamah kerana perjudian haram juga meningkat tahun ini.

"Tahun lepas kita dakwa 2,534 daripada 5,860 kes manakala 2,945 kes adalah dalam proses untuk didakwa.

"Tahun ini daripada 6,817 kes, kami telah dakwa 1,719 dan 4,440 masih dalam proses untuk didakwa," katanya.

Selain itu Mohmad memberi amaran bahawa polis tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa jenayah termasuk perjudian haram.

Rabu lalu, Khalid berkata polis dan Jabatan Peguam Negara sedang berusaha untuk merangka undang-undang bagi memerangi perjudian dalam talian secara haram.

Tiada ulasan: