HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2015

Gesa SPRM siasat jika dakwaan benar

Gesa SPRM siasat jika dakwaan benar
Lori yang didakwa diubahsuai untuk memuatkan baja yang diselewengkan.
 
 
KUANTAN - Pemuda Pas mendakwa menerima beberapa aduan daripada generasi kedua Felda berhubung penyelewengan baja milik peneroka oleh pihak kontraktor yang dilantik.

Justeru, mereka menuntut perhatian serius Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap aduan berkenaan supaya menyiasat kontraktor yang didakwa terbabit.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Pemuda Pas, Roslan Md Esa berkata, sejak aduan dikemukakan, tiada sebarang perubahan berlaku.

“Tiada sebarang tindakan mahupun siasatan dilakukan sedangkan pihak kontraktor dilihat masih meneruskan perbuatan mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau turut mengemukakan beberapa surat yang mewakili peneroka di Negeri Sembilan yang tidak berpuas hati kerana masih ada kontraktor yang melakukan perkara itu.

Katanya, beberapa gambar turut diterima daripada generasi kedua Felda yang membuktikan perkara itu berlaku dan tiada tindakan tegas daripada pihak bertanggungjawab.

“Pemuda Pas memandang serius perkara ini kerana boleh dianggap sebagai menindas peneroka,” katanya.

Beliau mendakwa, hasil pemerhatian mendapati lori pengangkut baja diubah suai untuk mengambil sebahagian baja dan bahagian paling minimum diberikan kepada peneroka.

Roslan berpendapat, peneroka tidak akan mengalami kerugian jika Felda memantau perkara itu.

Katanya, kelemahan urus tadbir Felda juga dilihat semakin lemah mengakibatkan produktiviti tidak menggalakkan.

“Lebih mengecewakan apabila saham Felda Global Ventures (FGV) terus merudum tanpa ada tanda-tanda pemulihan. Malangnya, peneroka juga menjadi mangsa kerana hasil mereka turut diragut,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: