shahbudindotcom
Pas
tentunya ketika ini sedang terpukul berikutan wujudnya sebuah parti
baru dalam proses penubuhan yang dinamakan Gerakan Harapan Baru atau GHB
yang ditunjangi oleh kumpulan profesional dan progresif yang selama ini
menjadikan parti itu lebih diterima ramai oleh pelbagai lapisan
masyarakat.
Dengan
terpisahnya golongan profesional dan progresif daripada parti itu, Pas
yang didominasi oleh kumpulan pro ulama sejak pemilihan yang lalu, akan
menjadi parti yang lebih tertutup dan semakin dijauhi, bukan saja oleh
pengundi bukan Islam tetapi juga oleh masyarakat Melayu sendiri.
Dengan
semata-mata berjuang atas nama hukum tetapi mengabaikan keperluan
rakyat dan isu-isu semasa yang menggugat kepentingan negara, tiada
sesiapa yang meminati lagi Pas selepas ini.
GHB
yang bakal bergabung bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat 2.0
berserta NGO-NGO adalah harapan baru kepada rakyat yang mahukan
perubahan dan kebaikan dalam bernegara lantaran sejak bertahun-tahun
kebelakangan ini sikap kepedulian itu memang menjadi teras perjuangan
mereka.
Menghadapi
ancaman dan kedudukan mereka yang semakin terpinggir itu, pelbagai
usaha dilakukan oleh Pas untuk menggagalkan penubuhan GHB. Selain
melabelkan pendokong-pendokong GHB sebagai pengkhianat, proksi DAP,
tidak mungkin mampu bertahan lebih dua tahun, mengingatkan tentang
sejarah Berjasa serta Hamim dan sebagainya, terbaru ini isu bai'ah atau
sumpah kesetiaan pula dimunculkan.
Isu
bai'ah yang secara tiba-tiba diketengahkan ini tidak lain ialah untuk
menakut-nakutkan golongan profesional dan progresif agar jangan
meninggalkan atau keluar daripada Pas serta membatalkan hasrat
menubuhkan GHB.
Sudah
tentu juga ianya bertujuan untuk membuatkan rakyat menolak GHB kerana
parti itu dianggap telah dipimpin oleh mereka yang khianat kepada Pas
dan perjuangan Islam. Lebih dari itu, khianat kepada Allah juga mulai
disebut.
Di
sesetengah negeri, bai'ah kepada calon-calon yang bertanding dalam
pilihanraya menuntut mereka agar setia kepada perjuangan Pas dan
sekiranya keluar parti, akan dilaknat sepanjang kehidupan dan haram
mengambil gaji serta elaun yang diperolehi.
Di
Kelantan pula, sebagaimana yang akui oleh Menteri Besarnya yang juga
Timbalan Mursyidul Am, Ahmad Yaakob, bai'ahnya lebih berat iaitu
mencagarkan isteri masing-masing dengan talak tiga jika wakil-wakil
rakyatnya keluar parti dan menyertai parti lain.
Bai'ah
yang bersaksikan Tuhan ini jelas memperlihatkan bagaimana Pas
sebenarnya tidak meyakini perjuangan Islam yang diyakininya benar serta
mampu membawa ke syurga sehingga terpaksa mensyaratkan calon-calon wakil
rakyatnya bersumpah kesetiaan dengan syarat-syarat yang boleh dianggap
mengarut dan menghina.
Menjadikan
Tuhan sebagai saksi kepada bai'ah yang meletakkan isteri masing-masing
sebagai cagaran tentu saja perbuatan paling tidak menghormati kedudukan
kaum wanita. Ia juga suatu perbuatan memperalat dan merendah-rendahkan
nama Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa semata-mata untuk kepentingan
parti.
Sementara
Islam meletakkan kaum wanita di kedudukan yang mulia dan tersendiri dan
kita sebagai umat Islam pula diminta sentiasa mengagungkan Allah dengan
kebaikan, Pas Kelantan melalui bai'ah tersebut telah berbuat
sebaliknya.
Bukannya
rahsia juga beberapa wakil rakyat Pas di Kelantan didapati beristeri
lebih daripada satu, sama ada menikah di negeri tersebut atau di
negara-negara jiran yang lain. Ada yang bahagia dan ada juga yang
bercerai-berai sehingga menjadi kes mahkamah dan disiarkan di
media-media.
Dengan
ini, kedudukan kaum wanita yang menjadi isteri wakil rakyat sentiasa
diancam bahaya. Mereka bukan saja dicagar dengan talak tiga jika
keluar parti, bahkan juga kemungkinan dimadukan dua atau tiga kiranya
terus kekal bersama suami yang sudah bergelar "Yang Berhormat" itu.
Secara
langsung bai'ah yang mencagarkan isteri ini merupakan suatu bentuk
penghinaan kepada kaum wanita dan meletakkan Islam ditangan Pas lebih
terdedah kepada momokan serta dipandang rendah oleh masyarakat.
Mungkin
bai'ah itu, sama ada yang mencagarkan isteri atau menjadikan gaji dan
elaun haram diambil, dilakukan secara sukarela oleh calon-calon wakil
rakyat terbabit, tetapi sudah sampai masanya Majlis Fatwa mengeluarkan
hukum yang jelas mengenainya dan melarang ianya terus digunakan oleh
Pas.
Selain
merendahkan nilai Islam dan menjadikan kaum wanita boleh "dilambung
atau dihempas" atas pertimbangan politik, ia juga menjadikan Pas
seolah-olah sentiasa betul dan terkecuali daripada melakukan
pengkhianatan.
Soalnya,
bukankah Pas hanya sebuah parti politik yang berselimutkan agama dan
terdedah juga kepada melakukan khianat dalam perjuangannya?
Pemimpin
Pas yang diketuai oleh Haji Hadi Awang dan lain-lainnya pula bukanlah
golongan maksum, dari kalangan malaikat, terpelihara daripada melakukan
dosa atau terkekang nafsunya daripada kenikmatan palsu dunia. Dengan ini
jika pemimpinnya kena berbai'ah agar tidak khianat, Pas juga terdedah
dengan kemungkinan melakukan khianat yang disebabkan oleh kepentingan
mereka yang menerajuinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan