Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa di Bukit Aman.
Bagaimanapun, Khalid tidak memberitahu tujuan perjumpaan itu.
“Ya, saya dijadualkan bertemu beliau di Bukit Aman. Saya tidak diberitahu tujuan perjumpaan itu, tetapi beliau memohon untuk bertemu dengan saya.
“Saya biasa terima ramai pengunjung sebenarnya. Sesiapa yang hendak jumpa saya, tiada masalah,” katanya pada majlis penyerahan 300 topi keledar berjenama Givi sumbangan Celcom Axiata kepada anggota polis trafik Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, akhbar Australia The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne.
Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu yang dikenali sebagai Dudley International House daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta).
Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh Mara, yang menyediakan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara.
Berhubung siasatan polis Thailand terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, Khalid berkata, pihaknya belum menerima maklumat terkini.
“Kita belum menghantar pegawai polis ke sana. Kita masih menunggu pihak berkuasa Thailand selesai melakukan siasatan terhadap individu itu,” katanya.
Pada 24 Jun lepas, polis Thailand dilaporkan menahan Justo berkaitan dakwaan cuba memeras ugut PetroSaudi International Ltd (PSI), sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.
Khamis lepas, Khalid mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Thailand, Chaktip Chaijinda bagi membincangkan kebenaran menyoal siasat Justo berhubung kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan