Mohamed Mustafa Ishak
SHAH ALAM - Satu garis panduan mengenai sumpah bai’ah perlu
diperkenalkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan hal-hal
peribadi tidak dicampur-aduk ke dalam parti politik.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sudah tiba masanya mufti tampil memberikan pandangan dan menetapkan satu garis panduan kerana sebelum ini tidak ada garis panduan mengenai perkara tersebut.
“Saya tidak nafikan dalam Islam ada menyatakan tentang sumpah setia tetapi mengenai bai’ah talak tiga yang mencagarkan keluarga sebagai syarat, saya tidak pernah dengar,” katanya.
Jelasnya, kedudukan organisasi keluarga lebih tinggi jika dibandingkan dengan parti politik.
“Parti politik bukan sebuah organisasi yang suci dan terhindar daripada dosa. Perkahwinan itu diibaratkan sebagai membina sebuah masjid dan ia sepatutnya dipelihara.
"Perceraian adalah yang dibenarkan dalam Islam tetapi dibenci oleh ALLAH, ia tidak wajar dimasukkan dalam kesetiaan politik” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai bai’ah talak tiga kerana ia seolah-olah mencagarkan masa hadapan institusi keluarga.
“Soal politik dengan institusi kekeluargaan tidak boleh di campur aduk kerana ia sangat berbeza. Mengapa perlu diheret sama ke dalam kancah politik?
“Kita sandarkan politik dengan masa depan keluarga. Bagaimana dengan nasib isteri bila diceraikan dengan talak tiga?,” soalnya.
Sementara itu Dekan Pembangunan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohammad Fuad Othman berkata, bai’ah yang diguna pakai Pas merupakan mekanisme mengelakkan wakil rakyatnya lompat parti.
“Saya pasti setiap wakil rakyat yang melafazkan bai’ah merelakan hati mereka dan ikhlas untuk setia dengan parti.
“Tetapi apa yang menjadi persoalan sekarang adalah syarat-syarat dalam bai’ah itu sendiri terlalu berat untuk diterima,” katanya.
Tegasnya, Pas perlu adil terhadap wakil rakyat dan ahlinya bebas bersuara serta berpolitik.
“Bila meletakkan syarat yang berat had kepada wakil rakyat, bermakna mereka dalam keadaan tidak bebas.
“Begitu juga dengan pendekatan kesederhanaan dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Di mana kita letakkan hak kebebasan?," soalnya.
Sebelum ini, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan adanya sumpah bai’ah talak tiga yang perlu dilafazkan wakil rakyat Pas Kelantan jika meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan