Mukhriz Mahathir
KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
berkata, tuduhan segelintir pihak terhadap bapanya, Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai dalang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak
adil.
Katanya, tidak timbul langsung keadaan di mana ayahnya terlibat dalam menyeleweng, menukar e-mel atau sebagainya.
“Yang terbaharu pula, ayahanda dikatakan terlibat dengan bekas
eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo yang ditahan
pihak berkuasa Thailand kerana terlibat dalam penukaran dokumen
mengenai 1MDB. Itu semua dakwaan tidak adil dan tidak benar.
“Kalau ada mana-mana pihak merasakan tidak adil membuat dakwaan tidak
berasas kepada pucuk pimpinan parti, samalah situasinya adalah tidak
adil buat dakwaan kepada Tun seperti itu,” katanya di Majlis Berbuka
Puasa di sini, kelmarin.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau
percaya Dr Mahathir bersekongkol dengan warga asing dan serangan
politik oleh blog Sarawak Report di sebalik pembohongan terbaru itu.
Mukhriz berkata, beliau tersepit antara dua tokoh besar negara, seorang pemimpin negara dan bapanya sendiri.
Katanya,tindakan ayahnya lantang mengkritik Najib bukan untuk melemahkan Umno atau BN.
“Saya percaya apa yang dilakukan ayahanda adalah untuk menguatkan lagi
parti. Mungkin orang lain tidak percaya. Ada yang mengatakan ‘buat apa
la orang tu bercakap lagi’, ‘dah bersara 15 tahun dah’, ‘umur pun dah
mencecah 90 tahun. Baik tak payah cakap sebab akan jejaskan imej parti.
“Tetapi hakikatnya, soal kebenaran dan apa yang menyatukan kita sebagai
sebuah parti, itu yang membuatkan ayahanda Tun mengeluarkan kenyataan
sebegitu.
“Itu adalah hasratnya. Saya bukan mahu membela, tetapi itu keadaan sebenar,” katanya.
“Kita dituntut bersatu, tapi bersatu dengan niat baik. Jadi jika perlu
ada satu prinsip, satu ideologi, satu fahaman yang satukan, tak payah
suruh pun kita akan bersetuju.
“Ini satu perkara yang perlu difikirkan adakah kita bersatu kerana
kebenaran ataupun kerana kebatilan, tentunya kita mahu tonjolkan kepada
rakyat parti ini (Umno) berdiri tegak dengan kebenaran maka itu kita
bersatu,” katanya
Beliau harap apa pun kemelut yang dihadapi sekarang akan dapat selesai.
“Jika tidak dengan sendirinya mungkin dengan cara yang proaktif dari
kita sendiri dan cara yang terbaik yang tidak membawa mudarat pada kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan