Pasukan peguam Perdana Menteri sedang mendapatkan semua fakta dan maklumat sebelum memulakan tindakan undang-undang.
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak memulakan proses tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya berhubung artikel yang mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke dalam akaun peribadinya yang disiarkan The Wall Street Journal (WSJ) pada 3 Julai lalu.
Bagaimanapun, peguam Perdana Menteri, Wan Azmir Wan Majid berkata, sebelum memutuskan tindakan undang-undang ke atas akhbar antarabangsa itu, mereka perlu mendapatkan semua fakta berkenaan laporan yang disiarkan.
“Ia termasuk mengenalpasti pihak yang disebut di dalam laporan itu, bidang kuasa perundangan dan penglibatan dalang konspirasi, “ katanya bagi pihak firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, lapor The Star.
Katanya, kes itu bukan mudah kerana ia membabitkan dakwaan pihak tempatan dan antarabangsa.
“Kami diarah mengenalpasti fakta dan membentangkan kesemuanya, sebelum anak guam kami memberikan arahan seterusnya,” kata Wan Azmir.
Dia berkata, pihaknya perlu mendapatkan penjelasan terperinci bagi mengelak sebarang bantahan daripada WSJ berkenaan tuduhan yang dibuat.
“Selepas anak guam kami mendapatkan kesemua fakta yang diperlukan dan kedudukan WSJ dipastikan, kami mendapat arahan jelas mengambil sebarang jalan dan penyelesaian undang-undang serta-merta,” katanya.
Wan Azmir berkata, langkah pertama dalam mengumpulkan fakta ialah dengan mengenalpasti mereka yang terlibat dalam penulisan, penyebaran dan penerbitan artikel itu, supaya mereka dapat dinamakan dalam sebarang tindakan susulan.
“Isu kedua berkaitan bidang kuasa, memandangkan akhbar itu berasal dari Amerika Syarikat dan boleh diakses di seluruh dunia,” katanya.
Tambahnya, firmanya akan mendapatkan pengesahan lanjut mengenai kewujudan WSJ di Malaysia.
“Kami telah diarahkan untuk mengenal pasti fakta dan meletakkan fakta yang lengkap, sebelum pelanggan kami, boleh meneruskan arahan selanjutnya.
Sebelum itu, firma berkenaan menerusi kenyataan media menyatakan sedang mengenal pasti pihak yang terlibat dalam penulisan artikel tersebut selain pihak yang bertanggungjawab ke atas pengedaran dan penerbitannya untuk tujuan penamaan.
Memandangkan artikel itu melibatkan beberapa pihak, kami juga telah diarahkan untuk mempertimbangkan tindakan bersama atau tindakan berlawanan sebagai keterangan sekiranya ia dikhuatiri bersifat konspirasi kepada klien kami, kata kenyataan itu.
Firma itu menamakan International Petroleum Investment Co, Tanore Finance Corp, SRC International Sdn. Bhd and Ihsan Perdana Sdn. Bhd. sebagai pakatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan