Serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan
Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh sebuah
kumpulan penyiasat pasukan petugas khas.
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa menyiasat pejabat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri pada Jumaat dan memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Menurut beliau, serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Abdul Gani juga mengesahkan bahawa pasukan khas itu telah memulakan siasatan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyerahkan kepada beliau beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.
“Siasatan akan memfokus setiap aspek yang dibangkitkan,” kata Abdul Gani dalam satu kenyataan.
Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Jumaat mendakwa siasatan kerajaan terhadap 1MDB mendapati wang berjumlah berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Di dalam laporannya, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.
Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan