KUALA LUMPUR: Pengarang dan pengasas Sarawak Report, Clare
Rewcastle-Brown mungkin diekstradisi ke Malaysia kerana mencampurtangan
urusan dalaman negara ini jika terdapat kes "prima facie", kata Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau berkata, kerajaan akan mula
berurusan dengan pihak berkuasa British untuk mengekstradisi pengarang
berkenaan jika pihak polis berjaya mendapatkan bukti yang kukuh bagi
mendakwa beliau di sini.
"Sebagaimana prinsip 'sovereignty' yang dihormati antara negara, sudah
pasti pihak British tidak merestui mana-mana individu warganegaranya
mencampuri urusan dalaman negara lain," katanya.
Beliau berkata sesuatu yang tidak boleh diterima pendedahan yang dibuat
Rewcastle-Brown mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melalui
portal Sarawak Report mempunyai niat jahat.
Zahid berkata polis sedang menjalankan siasatan dan sekiranya terdapat
bukti yang mencukupi, kementerian akan membuat hubungan rasmi dengan
kerajaan British melalui Kementerian Luar supaya tindakan undang-undang
boleh diambil terhadap Rewcastle-Brown.
"Ketika ini sudah ada hubungan kerja antara polis Malaysia dan Scotland
Yard. Ini akan menjadikan ia mudah sekiranya sebarang ekstradisi
diperlukan," katanya.
Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman
Dahlan sebelum ini mendakwa Rewcastle-Brown mengubahsuai dokumen
berhubung dengan 1MDB sebagai sebahagian daripada cubaan menjatuhkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dakwaan ini muncul selepas satu laporan polis yang dibuat pemimpin
badan bukan kerajaan Ramesh Rao Krishnan Naidu, berdasarkan "pengakuan"
oleh Lester Melanyi, bekas wartawan Sarawak yang mendakwa bekerja dengan
Sarawak Report sebelum ini.
Bagaimanapun, Rewcastle-Brown menafikan dakwaan itu, mengatakan Melanyi tidak pernah bekerja untuk Sarawak Report sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan