KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menegaskan tiada
istilah lesen aktiviti Perkhidmatan Pelanggan (GRO) di mana-mana premis
pub dan kelab malam yang dikeluarkan di ibu negara ini termasuk Labuan
dan Putrajaya.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan
Labuan tidak mengeluarkan lesen itu kerana lesen bagi aktiviti GRO
tersebut tidak wujud.
"DBKL meluluskan sebanyak 100 premis pub dan kelab malam di Kuala
Lumpur, manakala Perbadanan Labuan pula mengeluarkan 37 lesen perniagaan
bagi pusat hiburan di bawah Akta Hiburan WPKL 2003 sehingga kini,"
katanya menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani pada persidangan
Dewan Negara di sini, hari ini.
Yahaya bertanya mengenai jumlah lesen pub dan kelab malam berlesen dan
tidak berlesen yang dikenal pasti beroperasi di ibu negara, Putrajaya
dan Labuan yang dikeluarkan sejak Januari 2014 hingga kini selain sama
ada lesen di tempat berkenaan dikeluarkan untuk menawarkan khidmat GRO.
Loga Bala berkata Perbadanan Putrajaya juga tidak pernah mengeluarkan
lesen bagi pub dan kelab malam kerana tiada aktiviti premis itu di
Putrajaya.
"Perbadanan Labuan juga menetapkan dasar bahawa tiada lagi lesen pusat
hiburan yang baharu dikeluarkan kecuali bagi sektor perhotelan sahaja,"
katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif @ Mohd
Sharif bagi isu yang sama, Loga Bala berkata pelaksanaan langkah operasi
yang agresif dan penguatkuasaan tegas DBKL menyita pusat hiburan haram
menampakkan kesan positif penularan premis berkenaan di bandar raya
ini.
"Keadaan sebenar buat masa ini banyak kegiatan haram pusat hiburan di
Kuala Lumpur sudah ditutup dan pihak DBKL menyenarai hitam nama pemilik
premis memohon lesen operasi semula kerana beroperasi secara haram atau
melanggar syarat lesen," katanya menjawab soalan mengenai langkah
holistik DBKL berhubung pusat hiburan haram di Lembah Klang yang terlalu
banyak menawarkan khidmat lebih ramai GRO warga asing.
Loga Bala berkata kementerian memberi perhatian terhadap isu GRO warga
asing dengan melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama
Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
Namun, katanya, tindakan menangkap GRO warga asing itu bukan di bawah
tanggungjawab kementeriannya sebaliknya dalam bidang kuasa KDN. –Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan