TAWAU- Tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya boleh meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk meletak jawatan berikutan tuduhan dan dakwaan terhadapnya baru-baru ini.

Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata permintaan itu tidak perlu dilayan, kerana Najib telah dipilih atas sokongan rakyat dan juga kepimpinan parti.

“Tuduhan kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

“Itu dakyah tipu helah daripada individu tertentu dan pembangkang. Rakyat jangan percaya dengan tuduhan liar dan tidak berasas yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sejadah, Al-Quran, Yassin, dan Penghawa Dingin sumbangan UMNO Kalabakan kepada masjid-masjid di kawasan Parlimen Kalabakan hari ini.

Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang  mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.

1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, banyak pihak menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.

Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.

Katanya perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.