KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen DAP Tony Pua sekali lagi menafikan bertemu dengan bekas eksekutif SaudiPetrol International, Xavier Andre Justo di Singapura, dan kali ini beliau menunjukkan cap kemasukan di pasport sebagai bukti bahawa beliau pergi ke Singapura sekali sahaja pada Mac lalu.


Ketika menjawab soalan wartawan di sidang akhbar di ibu pejabat DAP hari ini, Tony berkata dia tidak pernah bertemu atau mendengar nama Justo atau bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi sebelum nama mereka disebut dalam isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Satu-satunya masa saya ke Singapura tahun ini adalah pada 19 Mac lalu, selepas semua dokumen didedahkan oleh Sarawak Report,” kata Tony.

Beliau bagaimanapun, mengaku bertemu Clare Rewcastle Brown di London, Singapura dan Malaysia.

“Apa sahaja yang saya dapat, apa sahaja dokumen yang sama seperti yang dimiliki orang lain, dapat dari Sarawak Report.”

Sementara itu beliau turut menyoal sebab mengapa pihak berkuasa melarangnya daripada meninggalkan negara dan berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

Tony dihalang daripada menaiki pesawat untuk ke Yogyakarta, tengah hari tadi.

Beliau diberitahu bahawa pegawai imigresen di KLIA2, lapangan terbang untuk penerbangannya ke Indonesia, bahawa mereka juga tidak pasti sebab mengapa dan memintanya bertemu dengan Bahagian 
Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan kebenaran meninggalkan negara.

“Saya tidak diberitahu oleh sesiapa mengenai perkara ini dan saya belum dipanggil untuk disoal siasat.

“Saya dihalang tanpa diproses atau diberi keadilan. Saya akan berbincang dengan peguam dan akan memfailkan saman ke atas kerajaan kerana menghalang saya meninggalkan negara ini tanpa notis,” katanya.

Tambahnya lagi, peguamnya akan berbincang dahulu dengan pengerusi Biro Perundangan Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.