KEMELUT Rohingya di Myanmar, yang menyaksikan pelbagai
bentuk kekejaman dan penindasan termasuk penafian hak kewarganegaraan
dihadapi masyarakat itu, bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah
berlarutan sejak 1962 lagi.
Berikutan kemelut, yang sehingga kini belum nampak jalan penyelesaiannya, beberapa negara terutamanya negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan tidak terkecuali Malaysia, menjadi lokasi kebanjiran pendaratan pelarian etnik itu.
Di Malaysia sahaja, sehingga 31 Mei lepas, sejumlah 153,004 pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR), di mana 93 peratus daripadanya adalah dari Myanmar.
Selain Rohingya yang seramai 46,581 orang, pelarian lain dari Myanmar terdiri dari etnik Chin berjumlah 49,340, Muslim Myanmar (12,298), Arakanese (7,266), Mon (5,378), Kachin (4,476), Karen Kayin (4,508), Burmese (3,329), Shan/Thai Yai (1,510) dan lain-lain etnik (7,538).
Difahamkan juga, masih terdapat kira-kira 20,000 pelarian Rohingya di dalam negara ini yang masih belum didaftarkan.
Tidak dibenarkan bekerja
Baru-baru ini, persidangan Dewan Negara diberitahu bahawa kerajaan
tidak bercadang untuk membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar
dengan UNHCR, bekerja di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata ini
kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan manipulasi pelarian UNHCR dengan
kemasukan lebih ramai golongan tersebut yang masih menunggu di sempadan.
Katanya tindakan majikan menggajikan mana-mana pelarian merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Walaupun tidak dibenarkan bekerja di negara ini kerana dikhuatiri boleh
menimbulkan pelbagai implikasi negatif, pelarian UNHCR termasuk
Rohingya tetap diberikan bantuan sementara atas dasar kemanusiaan,
katanya.
Persoalannya, meskipun tindakan kerajaan itu benar, bukankah itu hanya
akan menjadi tambahan beban kepada negara sekiranya terus menghulurkan
bantuan kerana mereka tidak punya punca pendapatan?
Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan dan menyara keluarga mereka
yang kemungkinan turut berada di dalam negara, sekiranya mereka ini
tidak dibenarkan bekerja? Bukankah itu akan menyebabkan mereka menjadi
peminta sedekah?
Harus pertimbangkan semula
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata
dalam menentukan sama ada pelarian boleh bekerja atau tidak, ia perlu
dinilai daripada sudut keperluan tenaga kerja dan dalam masa sama
memastikan lambakan pendatang tidak menutup peluang rakyat tempatan.
Beliau berpendapat kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula
pendiriannya dengan memberikan peluang pekerjaan kepada pelarian
Rohingya yang memegang pas UNCHR sah, atas dasar kemanusiaan.
Beliau berkata kerajaan boleh mengkhususkan hanya sektor pekerjaan
tertentu sahaja seperti perladangan dan mengadakan tapisan yang ketat
bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diambil
bekerja.
"Mungkin kerajaan boleh memikirkan semula dengan memberikan peluang
pekerjaan kepada pelarian yang sedia ada di dalam negara, namun di dalam
konteks jumlah yang terkawal dan industri diperlukan sahaja.
"Dengan adanya pekerja Rohingya, ia boleh mengurangkan masalah kepada
pengusaha yang memerlukan pekerja seperti dalam sektor perladangan, dan
dalam masa sama membantu orang Rohingya ini," katanya ketika dihubungi
Bernama.
Beliau berkata tindakan kerajaan membenarkan etnik ini untuk bekerja
pasti akan dipuji dan dipandang tinggi terutamanya dalam konteks
kemanusiaan, sekalipun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Geneva
Mengenai Pelarian 1951 kerana tidak mahu negara ini menjadi negara
transit pelarian.
Kawal kemasukan pendatang asing
Ahmad Martadha berkata sekiranya etnik Rohingya yang sedia ada diberi
peluang bekerja, ia juga dapat mengurangkan pengambilan dan penambahan
kemasukan buruh asing yang tidak terkawal.
Katanya apabila kerja-kerja kosong seperti di sektor perladangan diisi
oleh orang Rohingya dan bukannya pekerja asing tanpa izin, secara tidak
langsung ia membantu membangunkan negara, bukan merugikan negara.
"Apa yang penting sebenarnya, jangan terlalu tekankan ketakutan
pendatang akan datang lebih ramai, tetapi bimbangkan kalau mereka datang
secara tidak sah... jika pintu keselamatan negara dikawal lebih rapi,
individu hanya akan datang secara sah.
"Kita tidak akan dapat elak menjadi tumpuan imigran... bukan sahaja
Malaysia, negara seperti Turki, Sweden, Amerika Syarikat dan German,
pelarian asing sanggup datang bekerja kerana negara-negara ini maju dan
menawarkan peluang pekerjaan yang lumayan," katanya.
Justeru, Malaysia harus menetapkan tapisan dan syarat-syarat tertentu
yang ketat bagi tujuan pengambilan pelarian sebagai pekerja.
Desak Myanmar henti keganasan
Mengapa tidak menghantar sahaja pelarian itu pulang ke negara asal?
Mengapa Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tidak mendesak Myanmar untuk
mengambil semula pelarian Rohingya, yang berasal dari wilayah mereka?
"Untuk menghantar pulang pelarian ini semula ke negara asal, Myanmar
tentunya tidak akan menerima mereka dan dalam masa sama harapan untuk
negara lain yang sanggup untuk menerima mereka juga adalah tipis.
"Peluang yang ada pun hantar pelarian Bangladesh yang menyamar sebagai
etnik Rohingya pulang ke Bangladesh... itu sahaja," katanya.
Martadha berkata baginya, penyelesaian untuk mendesak Myanmar berbuat demikian sebenarnya bukanlah opsyen terbaik.
"Kita hanya boleh nasihat, kalau mereka tidak mahu ambil balik
(pelarian Rohingya), itu kita tidak boleh kawal kerana kita tidak
mengamalkan dasar campur tangan terhadap urusan dalaman mana-mana negara
ASEAN," katanya.
Katanya adalah lebih penting untuk Malaysia mendesak kerajaan Myanmar
menghentikan terus segala bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap
etnik Rohingya di negara itu, sekaligus mengiktiraf masyarakat itu
sebagai warga negara mereka.
"Mereka ini bukan sahaja diusir tetapi berdepan dengan diskriminasi dan kekejaman di negara mereka... Malaysia punya peranan besar untuk mendesak Myanmar agar hentikan kemelut itu yang menimbulkan masalah kepada negara jiran lain.
"Kita tidak seharusnya dibebankan dengan masalah pelarian etnik
Rohingya terutamanya apabila punca masalah bukan datang dari dalam
negara," katanya.
Jangan benarkan
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd
Khalid Atan pula berpendapat belum tiba masanya untuk Malaysia
membenarkan masyarakat Rohingya bekerja kerana negara masih berhadapan
dengan lambakan pekerja asing.
"Dengan keadaan sekarang, kita tidak boleh benarkan mereka bekerja di
dalam negara buat sementara kerana buat masa ini kita terlalu ramai
pekerja asing sama ada yang sah atau tidak sah... jumlahnya lebih
daripada yang diperlukan.
"Sekiranya kita membenarkan mereka (Rohingya) bekerja, pelarian
daripada etnik dan negara lain juga akan menuntut perkara yang sama,"
katanya.
Katanya kerajaan boleh membenarkan pelarian bekerja sekiranya kerajaan
dapat menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin yang bekerja di dalam
negara dan mempunyai sistem kawalan yang berkesan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan