Dr Asyraf Wajdi Dusuki
BACHOK - Sebanyak 390 masjid dan surau yang terjejas akibat bencana
termasuk banjir dan ribut di negeri ini telah dibaik pulih melibatkan
perbelanjaan sebanyak RM6.9 juta.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki berkata, peruntukan untuk membaik pulih masjid dan surau itu
melibatkan dana daripada Tabung Pemulihan Masjid Pasca Banjir Kelantan
yang berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak berjumlah lebih
RM10 juta.
"Kerja baik pulih itu antaranya melibatkan penukaran karpet dan
peralatan pembesar suara yang rosak akibat banjir. Kita juga membantu
masjid dan surau yang rosak akibat ribut terutama melibatkan kerosakan
kubah dan kebocoran atap.
"Tindakan segera untuk membaik pulih masjid dan surau yang terjejas ini
bertujuan memberi keselesaan kepada umat Islam beribadah," katanya
kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bagi menggantikan kubah
Masjid Mukim Kubang Golok yang rosak akibat ribut, di sini hari ini.
Asyraf Wajdi yang juga pengerusi tabung berkenaan berkata, baki dana
daripada tabung tersebut akan digunakan untuk membantu masjid dan surau
lain yang memerlukan bantuan.
Katanya, peranan masjid perlu diperluaskan terutamanya sebagai institusi untuk menyatupadukan masyarakat.
Beliau juga menggalakkan umat Islam melaksanakan solat hajat bagi
menghindarkan negara daripada ditimpa pelbagai musibah seperti banjir.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan