HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2015

Demonstrasi jalanan satu-satunya cara jatuhkan Najib, kata Dr Mahathir



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di sebuah restoran di Pasar Seni, Kuala Lumpur sebelum melawat peserta perhimpunan Bersih 4, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Ogos, 2015.Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di sebuah restoran di Pasar Seni, Kuala Lumpur sebelum melawat peserta perhimpunan Bersih 4, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, . 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini, demonstrasi jalanan merupakan satu-satunya cara untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang, sama keadaannya seperti yang berlaku kepada bekas presiden Ferdinand Marcos di Filipina.

“Kita nak singkir Najib saja, Barisan Nasional (BN) kekal,” katanya sambil menambah, beliau berpendapat Najib tidak akan meletak jawatan kerana dia akan perlu berhadapan mahkamah dan mungkin ke penjara.
 
Dr Mahathir berkata demikian kepada media ketika sedang berehat dan minum petang di sebuah restoran di Pasar Seni sebelum mengunjungi peserta Bersih 4 di ibu kota hari ini.

"Kalau kerajaan dah tak peduli pasal undang-undang, kita terpaksa gunakan demonstrasi. "Lihat presiden Marcos, ketika memerintah Filipina, mereka terpaksa jatuhkan beliau melalui demonstrasi," katanya.
 
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, beliau tidak akan turun menyertai perhimpunan itu jika pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dibubarkan.
 
"Jika pasukan petugas khas tidak dibubarkan,  saya tidak akan turun demonstrasi semalam dan hari ini," katanya yang sekali lagi hadir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
 
Turut mengiringi mereka ialah bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim dan isterinya Datin Suliana Alias.
 
Sebelum itu, mereka tiba di kawasan Pasar Seni dengan menaiki LRT.
 
Dr Mahathir berkata, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) seharusnya bersama-sama mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
"Ahli Parlimen Umno yang setia kepada parti perlu sokong undi tidak percaya.
 
"Lepas itu kerajaan Najib akan jatuh. Kerajaan selepas itu perlu BN kerana BN ada majoriti," katanya.
 
Dr Mahathir berkata beliau dapat tahu ada ahli Parlimen Umno yang akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Najib tetapi tidak tahu siapa mereka.
 
"Saya minta ahli Parlimen Umno sedia (undi tidak percaya). Saya melihat demonstrasi terhadap Presiden Guatemala, mereka demonstrasi berhari-hari, tapi dia tidak berundur.
 
"Sokong ahli Parlimen anda. Jika tidak sokong undi tak percaya, kami tidak akan undi sebagai ahli Parlimen lagi.
 
"Sekarang ini tugas rakyat untuk menjadikan negara ini ditadbir tanpa rasuah," katanya.
 
Dr Mahathir merupakan pengkritik tegar dan paling lantang Najib menggesa beliau meletakkan jawatan susulan pembabitan perdana menteri dalam beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan terutama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiada ulasan: