HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2015

Sokongan Dr Mahathir terhadap Bersih 4 tidak cukup singkir Najib, kata penganalisis



Kunjungan mengejut Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak 2 kali di perhimpunan Bersih 4 menandakan sokongannya secara tersirat kepada acara itu yang menjadi pembakar semangat penganjur dan peserta. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.Kunjungan mengejut Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak 2 kali di perhimpunan Bersih 4 menandakan sokongannya secara tersirat kepada acara itu yang menjadi pembakar semangat penganjur dan peserta. – Gambar fail The Malaysian Insider,

 
Sikap bongkak Putrajaya beberapa hari menjelang perhimpunan Bersih 4 memakan diri apabila acara itu mengumpulkan segerombolan besar 300,000 orang dan memberikan kemenangan moral kepada penganjur dengan kunjungan mengejut Tun Dr Mahathir Mohamad, kata penganalisis.

Mereka berkata, perhimpunan itu bukan saja menyatukan rakyat Malaysia daripada semua golongan tetapi bagi penganjur, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0, kemunculan Dr Mahathir menandakan sokongannya secara tersirat kepada acara itu.
 
Walaupun bekas perdana menteri itu dengan jelas menyatakan niatnya datang melihat perhimpunan itu hanya untuk menyertai rakyat Malaysia memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, kehadirannya tetap menjadi pembakar semangat penganjur dan peserta.

Perhimpunan 2 hari itu yang berakhir malam tadi, bukan sahaja untuk mendesak Najib letak jawatan tetapi menuntut perubahan institusi dalam negara. 
 
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran, usah meraikannya terlalu awal kerana mereka berkata kehadiran penyokong yang kemudiannya bertukar pengkritik utama Najib itu tidak cukup untuk menekan perdana menteri untuk berhenti.
 
“Ia kemenangan moral kecil untuk Bersih, tetapi agak terlalu terlewat untuk membuat perbezaan besar dalam perhimpunan itu sendiri.
 
“Dr Mahathir perlu mengekalkannya dengan menerima objektif Bersih, dan saya tidak fikir beliau akan berbuat demikian,” kata Dr Lim Teck Ghee (gambar, kanan) daripada Centre for Policy Initiative (CPI).
 
Sebahagian objektif Bersih selaras dengan Dr Mahathir, yang berulang kali mendesak Najib meletakkan jawatan berhubung tuduhan mengaitkannya dalam skandal kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion daripada penderma Timur Tengah yang tidak diketahui, ke dalam akaun bank peribadinya.
 
“Matlamatnya ialah menjatuhkan Najib dan jelas ia adalah sebahagian usaha terakhir Dr Mahathir. Ia bagus untuk imej umum Dr Mahathir,” kata Lim.
 
Negarawan bersara itu memberitahu khalayak di Gelang Patah, Johor pada Sabtu – hari sama perhimpunan Bersih dan beberapa jam sebelum beliau singgah di lokasi acara itu di Kuala Lumpur – beliau bukan peminat demonstrasi tetapi beliau terpaksa bersetuju rakyat Malaysia perlu memilih langkah itu sebagai saluran terbaik menyelesaikan masalah yang ditutup atau sudah tidak ada lagi.
 
Ia juga menyatakan mereka yang memegang kunci untuk Najib terus memegang jawatan perdana menteri ke-6 negara ialah ahli Parlimen dan rakan setugasnya dalam Majlis Tertinggi Umno.
 
“Tidak mungkin perhimpunan itu sendiri, walaupun ia dihadiri sejuta orang, boleh membawa kesan serta-merta dalam objektifnya mengubah struktur dan kepimpinan.
 
“Objektif itu perlu melalui Parlimen dan bukan cara lain. Tetapi ia menunjukkan betapa kurangnya keyakinan dan kepercayaan terhadap perdana menteri sekarang dalam beliau mentadbir negara dan ekonomi selain kebimbangan lain mengenai perubahan pilihan raya yang disuarakan dalam perhimpunan Bersih sebelum ini,” kata Lim.
 
Dr Oh Ei Sun berkata, Najib dikelilingi mereka yang setia dengannya daripada kalangan orang dalam Umno dan walaupun Dr Mahathir mendesak ahli parti menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri, usaha seumpama itu agak sukar dilakukan.
 
“Ia sangat  sukar berlaku, kerana beliau tidak ada jawatan lagi untuk memberikan bantuan politik yang menjadi faktor utama dalam kesetiaan politik BN (Barisan Nasional),” kata felo kanan S Rajaratnam School of International Studies di Universiti Teknologi Nanyang Singapura, merujuk kepada sistem naungan.
 
Pengarah Institut Asia University of Tasmania Dr James Chin (gambar, kanan) berkata di sebalik keghairahan dalam kemunculan Dr Mahathir, tidak dapat dinafikan perhimpunan keempat Bersih 2.0 memberikan reputasi kepada badan pemantau pilihan raya itu dalam membawa rakyat ke jalanan menerusi perhimpunan seumpama itu.
 
Mereka juga bimbang dengan kekurangan peserta Melayu, kerana laporan di kawasan acara menunjukkan selepas hari pertama, semakin ramai peserta bukan Melayu menyertainya.
 
Ada yang menyatakan keadaan itu disebabkan ketidakhadiran parti Islam PAS, yang sebelum ini penggerak penting dalam mengumpulkan ahlinya dan penyokong menghadiri perhimpunan itu.
 
PAS berpisah dengan rakannya, PKR dan DAP berikutan perbezaan pendapat mengenai parti Islam itu untuk meneruskan hasratnya melaksanakan undang-undang hudud.
 
Menggantikan tempatnya, kumpulan serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB) cuba menggerakkan penyokongnya.
 
Chin berkata dengan kejayaan itu, pembangkang boleh menggunakannya untuk membina momentum bagi pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan menjelang 2018.
 
 “Tetapi saya fikir mereka akan menggunakannya untuk undi tidak percaya di Parlimen, mereka akan buat sekarang, tidak syak lagi,” katanya membuat ramalan.
 
Jadi apa yang diperoleh BN dan pembangkang menerusi perhimpunan itu?
 
Lim daripada CPI berkata BN akan memainkan isu jumlah orang Melayu yang sedikit menyertai perhimpunan itu dan parti Umno akan mendakwa majoriti Melayu anti Bersih.
 
Bagaimanapun, beliau memberi amaran, jumlah yang kecil tapi masih ada peserta Melayu akan membimbangkan Putrajaya dan mereka perlu mencari cara untuk menangani keadaan itu.
 
“Bagi pembangkang, ia mencapai objektif menunjukkan mereka hidup dan berdaya, dan mampu membuat acara besar tanpa PAS,” kata Lim.
 
“Parti serpihan PAS menunjukkan taringnya menggerakkan generasi muda Melayu di kawasan bandar yang sangat vokal dan membuatkan kehadiran mereka dirasai terutama di media sosial. Komponen Melayu muda dalam perhimpunan itu mungkin boleh jadi kad kemenangan pembangkang pada pilihan raya akan datang,” katanya.


Tiada ulasan: