KUALA LUMPUR, Tidak ada pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang berkuasa dalam negaranya atas nama semangat patriotisme.


Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penentangan terhadap kuasa politik oleh rakyat di negara yang didiami tidak bermakna cinta dan sayangnya terhadap tanah air berkurangan.

Menurutnya, tidak ada pihak yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya.

Jelasnya, kuasa politik boleh datang dan pergi, bertukar ganti manakala sultan dan menteri juga boleh dibuang ataupun dilantik dengan hanya keadaan yang menentukan.

“Namun hakikat bahawa tanah air dan watan ini adalah milik kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.

“Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah dan mereka kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah yang zalim dan bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah sekaligus membebaskan Mekah dari kuasa yang zalim tersebut.

“Itu semua tidak menafikan cinta Nabi kepada Mekah dan orang Kelantan yang tidak suka Pas bukan bererti tidak sayang Kelantan manakala orang Pulau Pinang yang tidak suka DAP bukan bererti tidak sayang negeri berkenaan dan orang Selangor yang tidak suka PKR bukan bererti tidak sayang Selangor serta rakyat Malaysia yang tidak suka Barisan Nasional (BN) bukan bererti tidak cintakan negara,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Tambah Dr Asri, mungkin yang rakyat tidak suka itu adalah penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta rakyat yang dibuat oleh mereka yang memegang tampuk tersebut tetapi sayang negeri dan negara tetap kekal.

“Sesiapa yang sayangkan tanah airnya lalu enggan watannya dirosakkan dan rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanah airnya, dia seorang yang patriotik!

“Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa,” tegasnya.