GEORGETOWN: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diminta menyiasat dan
mengambil tindakan sewajarnya terhadap penuntutnya yang terlibat dalam
demonstrasi jalanan di hadapan bangunan Parlimen, Selasa lepas.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata universiti
masing-masing mempunyai hak untuk menilai dan membuat keputusan jenis
tindakan yang akan diambil terhadap penuntut mereka yang terlibat.
"Kementerian akan menyerahkan kepada pihak IPT untuk menentukan jenis
tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam
perhimpunan haram," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Makan
Malam Alumni Universiti Sains Malaysia di sini malam tadi.
Idris turut menggesa supaya penuntut universiti awam tidak terlibat
dengan demonstrasi yang bercirikan politik, sebaliknya perlu menumpukan
perhatian terhadap pelajaran.
Selasa lepas, polis menahan 17 penuntut universiti yang menggelarkan
diri mereka Langkah Siswa kerana membuat demonstrasi jalanan dan
berkhemah di hadapan bangunan Parlimen.
Sementara itu, mengenai kejatuhan nilai mata wang ringgit, beliau
berkata ia tidak banyak memberi kesan kepada pelajar di luar negara yang
mendapat biasiswa kerajaan.
Ini kerana katanya, biasiswa akan diberi dalam bentuk mata wang asing mengikut negara tempat pengajian pelajar terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan