KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Najib Tun
Razak malam ini berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan
membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air
supaya kekal makmur di persada dunia.
Perdana Menteri berkata, beliau dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau
apa pun cabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.
Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen
Kuala Lumpur di sini malam ini, Najib melahirkan rasa kesal atas
tindakan segelintir pihak yang sanggup dan tergamak mencetuskan
bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun
kemerdekaan negara.
"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari
dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri,
merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.
"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan
hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan
segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu
sahaja," katanya.
Ini merupakan kali kedua Najib menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan
secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu
seperti amalan
biasa. Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.
Majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia
dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Perdana menteri turut mengajak para hadirin merenung dan menghayati
sedalam-dalamnya erti kemerdekaan, serta jasa bakti para parajurit dan
anggota keselamatan yang telah berkorban bagi menjamin rakyat dapat
hidup dalam keadaan aman dan sentosa.
"Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang
boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat,
kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah
sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah
negara demokrasi," kata Najib.
Menurutnya apa yang berlaku sehari dua ini amat tidak wajar, serta
mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan, kata Najib
yang jelas merujuk kepada perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara, Kota
Kinabalu dan Kuching.
Ke arah itu, beliau terus mengajak rakyat Malaysia memberi penghargaan
dan penghormatan kepada susah payah anggota keselamatan dalam memastikan
kerukunan
dapat terus dikecapi pada setiap masa.
Tegas Najib, kemerdekaan yang mengajar sesebuah watan itu berdiri di
atas kaki sendiri, hanya datang sekali dan bukanlah barang mainan,
justeru ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya.
"Saya berdiri di sini, dan berucap sebagai warga Malaysia yang
bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa negara
serta tanah air ini adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita
tidak akan membenarkan sesiapa pun menjadi dalang serta pengkhianat
untuk memusnahkannya.
"Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba meski
apa pun akan berlaku, biar berdentum guruh di langit, walau bumi
berkeping dua...persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung
bak pesan orang-orang lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi
terpatri mati," katanya.
Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, perdana menteri turut menjelaskan
mengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, Umno dan BN.
"Kerana kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda
tingginya kesungguhan dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang
Melayu, Umno dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara
bangsa," katanya.
Ke arah itu, Najib berjanji bahawa beliau dan anggota pentadbiran serta
BN akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia
serta mensejahterakan rakyat.
"Suka saya ulangi di sini, sekali layar sudah dikembangkan, apabila
sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik
haluan.
"Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita
bangkit dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang
masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti,
senada seirama, sehati sejiwa kita gemakan Merdeka! Merdeka! Merdeka!"
katanya.
Turut hadir ke majlis malam ini isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ahmad Zahid dan menteri-menteri Kabinet.
Kakitangan awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO, golongan
pendidikan, budayawan, mahasiswa dan individu-individu yang mewakili
masyarakat pula hadir sebagai jemputan untuk mendengar amanat berkenaan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan