HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2015

BELUM SAMA2 HILANG KUASA, LEBIH BAIK MP BN SINGKIRKAN NAJIB LEBIH DULU

shahbudindotcom

 
 
Himpunan Bersih 4 akan diadakan esok dan lusa selama 34 jam di tiga bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching. Berdasarkan jualan baju T Bersih 4 yang dilaporkan sudah melebihi 50 ribu helai sehingga ini, besar kemungkinan himpunan kali ini mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada rakyat.

Walaupun sasaran awal hanya sekitar 100 ribu saja yang akan turun berhimpun, tetapi melihat kepada keghairahan rakyat untuk menunjukkan bantahan terhadap kepimpinan Najib Razak, tidak mustahil kehadiran menjangkau antara 200 hingga 300 ribu orang.

Selain kedudukan politik dan ekonomi yang sedang berada di tahap kritikal, sebab lain yang menyebabkan rakyat lebih terangsang menunjukkan bantahan dan berhimpun kali ini ialah berikutan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun Najib.

Semua yang berakal waras, siuman, tidak gila atau tidak dikelabukan dengan wang ringgit, sama sekali tidak dapat menerima duit RM2,600 juta  itu sekadar derma, lebih-lebih lagi jika dikatakan untuk parti tetapi dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Maka, jangan sesiapa terkejut dengan sambutan di luar jangkaan dalam Bersih 4 ini.

Apatah lagi dengan keputusan kumpulan berbaju merah yang bertujuan melakukan protes telah membatalkan hasrat untuk  turun sama berhimpun, hakikatnya tiada lagi kebimbangan sesuatu yang tidak diingini mungkin berlaku dalam Bersih 4 kali ini.

Kecuali jika ada pihak-pihak tertentu yang berniat jahat atau melakukan provokasi melampau, himpunan Bersih 4 ini tidak seharusnya timbul apa-apa masalah dan ia boleh berlangsung dengan aman sebagai medan untuk rakyat meluahkan perasaan dan menunjukkan bantahan.

Pemilihan tarikh 29 dan 30 Ogos untuk Bersih 4 ini juga menunjukkan ia tidak bertembung sama sekali dengan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos.

Kerajaan seharusnya berlapang dada bahawa sekiranya tiada masalah serius dalam kerajaan dan tidak berlaku juga onar yang melampau di kalangan pemimpin, adalah lebih baik bagi rakyat berehat di rumah atau menghabiskan masa dengan keluarga masing-masing saja.

Berhimpun dan menyatakan bantahan dalam keadaan berpanas serta berhujan bukanlah pilihan yang menyeronokkan bagi rakyat dan sudah tentu ia dilakukan kerana ada perasaan yang tidak tertanggung dan perlu dilepaskan daripada jiwa.

Perhimpunan kali ini seharusnya bukan saja menjadi isyarat kepada Najib, tetapi yang lebih penting ialah kepada Ahli-Ahli Parlimen BN mengenai pilihan yang sewajarnya mereka lakukan.

Ketika ini sukar untuk menyangkal bahawa penolakan terhadap Najib dan penolakan kepada BN yang disebabkan oleh Najib semakin membesar di mana-mana. BN hanya mungkin dapat diterima kembali jika bukan Najib sebagai ketuanya.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan juga sudah terbuka mata dan fikirannya apabila turut mengatakan BN akan kalah jika pilihanraya diadakan dalam waktu terdekat ini.

Dalam pilihanraya akan datang pula, bukan saja kian ramai yang melahirkan keyakinan BN akan kalah, bahkan semakin kecil di kalangan pemimpin BN sendiri yang percaya ia mampu mengekalkan kuasanya.

Rata-rata percaya BN akan kehilangan kuasa dalam pilihanraya kali. Jadi, apakah perlu mereka buat sekarang ini?

Menukar Najib melalui UMNO nampaknya semakin sukar, bukan saja kerana pemilihan UMNO sudah ditangguhkan sehingga selepas PRU 14, tetapi juga disebabkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian sedang seronok dengan budaya "cash is king" sekarang ini.

Selagi boleh kaut, mereka akan terus mengautnya. Kebanyakannya tidak peduli pun sama ada UMNO kalah atau menang dalam pilihanraya akan datang, yang penting apa habuan yang boleh dikaut dalam waktu Najib sedang kesempitan ini.

Mereka lebih mengutamakan untuk mati kerana Najib atau rela ditembak untuk mempertahankan Najib  kerana di situ ada habuan sedang menunggu tanpa memikirkan parti sebenarnya lebih penting berbanding pemimpin.

Harapan menyelamatkan masa depan BN kini hanya terletak kepada Ahli-Ahli Parlimen BN yang terdiri daripada pelbagai parti. Memandangkan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah secara terbuka menawarkan diri ke arah itu, tawaran ini seharusnya disambut dan tidak dilengah-lengahkan lagi.

Malah Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR telah menawarkan  formula yang hanya memerlukan sokongan 30 Ahli Parlimen BN saja lagi untuk merealisasikannya memandangkan Pakatan Rakyat sudah sedia ada 88 wakilnya.

Tun Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan lain-lain tokoh berpengaruh yang masih sayangkan negara haruslah segera mengorak langkah mengumpul kekuatan menyahut tawaran Pakatan Rakyat itu ke arah perubahan untuk menyingkirkan Najib sama ada melalui kuasa Agong atau undi tidak percaya di Parlimen.

Ahli-Ahli Parlimen  MCA, MIC, Gerakan, Sabah dan Sarawak serta sebahagiannya lagi daripada UMNO, haruslah segera diyakinkan bahawa kepimpinan Najib bukan saja kian buruk, bahkan sedang membawa kemusnahan kepada keseluruhan kapal BN menjelang pilihanraya ke 14 nanti.

Menuggu dan membiarkan Najib bertahan sehingga PRU 14 dan akhirnya semua kalah serta kehilangan kuasa, adalah tindakan yang tidak berbaloi langsung sedangkan kekalahan BN itu mungkin boleh dielakkan hanya dengan menyingkirkan Najib seorang saja.

Biarlah Najib seorang dikorbankan, asalkan BN dan negara dapat diselamatkan. Lagi pun baki wang RM2,600 juta tentunya masih banyak lagi untuk beliau sekeluarga terus horey horey di seantero dunia selepas dibersarakan nanti.
 
 

Tiada ulasan: