ALOR SETAR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak wajar menghadiri perhimpunan Bersih 4.0, malam kelmarin.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, tindakan itu memberi tauladan yang tidak baik kepada masyarakat setelah kerajaan menyifatkan ia sebagai satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan Dr Mahathir sekalu bekas Presiden Umno menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 dilihat cukup mengecewakan masyarakat.
“Bagi saya, walau apa pun ketidakpuasan hati beliau terhadap kepimpinan kerajaan hari ini, adalah tidak wajar mengambil keputusan sedemikian,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tahap populariti Dr Mahathir dalam kalangan rakyat yang dilihat sebagai negarawan ulung juga tidak memberikan kelebihan kepada beliau untuk bertindak sebegitu.
“Dr Mahathir sepatutnya memikirkan kesan dan tindakan itu. Kita menghormati beliau tetapi langkah menghadiri perhimpunan itu amat menyedihkan.
“Bahkan ini menjadi tanda tanya ramai anggota masyarakat terutamanya penyokong Umno sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan keputusan Pas dan kepimpinan parti itu yang tidak membenarkan penyokong dan ahlinya menyertai himpunan tersebut adalah langkah terbaik.
“Saya melihat kehadiran Dr Mahathir ke himpunan itu memburukkan lagi keadaan dan kestabilan negara. Secara ilmiah rasionalnya juga kita tidak boleh menyokong langkah tersebut dalam hal seperti ini.
“Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Beliau sebagai negarawan tidak wajar bertindak atau menyokong demonstrasi atas apa tujuan sekalipun,” katanya.
Penganalisis politik itu turut berpandangan bahawa perjumpaan Dr Mahathir bersama penyokong himpunan Bersih 4.0 tidak membawa sebarang faedah kepada negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan