Fernando Fong dan Nawar Firdaws
Sebahagian peserta
perhimpunan Bersih 4.0 yang sanggup tidur bertilamkan jalan tar dan
berbumbungkan langit malam, malam tadi. Foto TRP/Fernando Fong
KUALA LUMPUR, Jalan raya menghala ke Dataran Merdeka bertukar wajah malam tadi seperti pesta, gara-gara himpunan Bersih 4 yang diadakan selama dua hari dan peserta bermalam di kaki lima dan jalan raya.
Meskipun, sebahagian peserta pulang ke
rumah masing-masing, masih ada peserta Bersih 4 yang membuat keputusan
kekal di lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki penganjur agar
peserta bermalam di Dataran Merdeka.
Tinjuan The Rakyat Post mendapati,
bermacam ragam diperlihatkan peserta Bersih 4 malam tadi, terdapat
peserta yang beralaskan kotak dan ‘sleeping bag’ serta menggunakan beg
galas sebagai bantal, tidak kurang juga peserta yang mendirikan khemah
dan paling menyedihkan tidur tanpa alas di atas jalan tar.
Seorang peserta, Joanne Lim dari Klang
berkata peluang tidur di kawasan terbuka malam tadi adalah satu
pengalaman yang tidak pernah beliau rasai.
“Saya tidak menjangka ramai orang tidur di jalanan, tetapi rakyat Malaysia memang luar biasa.
“Hati kami tersentuh kerana terdapat
sukarelawan yang berkawal demi keselamatan kami sepanjang malam dan ada
juga yang mengedarkan air serta makanan kepada orang ramai.
“Situasi yang ditunjukkan ini
mengambarkan tanpa mengira warna kulit semua orang adalah sama, sambil
dihiburkan kumpulan artis jalanan sepanjang malam, saling bantu-membantu
dan ini menguatkan lagi keyakinan peserta untuk meneruskan himpunan
untuk hari esok,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui.
Lim yang pernah menyertai himpunan Bersih
3.0 sebelum ini mengharapkan situasi ini akan terus kekal dan menarik
lebih ramai penglibatan rakyat Malaysia pada hari kemuncak esok (Ahad).
Seorang peniaga dari Johor Bahru berkata, peserta Bersih 4 tidak tidur di kaki lima untuk suka-suka.
“Saya pasti peserta Bersih 4 yang merasai
pengalaman ini dapat merasakan bahawa desakan tuntutan himpunan kali
ini akan berhasil dan cabaran yang bakal dihadapi esok bukan mudah.
“Kami kepenatan tetapi kami mahu
menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa kami amat serius
dengan tuntutan untuk perubahan,” katanya.
Ridzuan Hassan dari Alor Setar berkata, kerajaan tidak boleh lari dari rakyat.
“Rakyat sanggup tidur di jalanan,
kerajaan harus berasa malu dengan kepincangan mengurus dan gagal
menyelesaikan masalah yang mengugat negara pada hari ini,” katanya yang
datang ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspress kelmarin bersama
teman-temannya semata-mata untuk menyertai Bersih 4..
Seorang lagi peserta, Tiao Choo Ng
berkata walaupun peserta terpaksa tidur di jalanan, dengan meninggalkan
keselesaan tilam empuk dan bantal di rumah, ini bukanlah alasan untuk
melemahkan semangat mereka.
“Kami akan meneruskan sehingga tuntutan
kami diberi perhatian, kesusahan yang dihadapi malam ini bukan alasan
untuk kami pulang tidur di rumah,” kata Tiao Choo Ng.
Ng adalah salah seorang peserta Bersih 4 yang berarak ke Dataran Merdeka bersama 500 orang yang lain dari Brickfields.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan