HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2015

Harga baharu rumah generasi kedua Felda RM60,000

SINAR HARIAN


Harga baharu rumah generasi kedua Felda RM60,000
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bergambar bersama penerima anugerah selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan 2015 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Nerus hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA NERUS - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan harga baharu rumah untuk generasi kedua Felda yang boleh dibeli dengan harga antara RM60,000 hingga RM70,000 seunit. 
 
Najib berkata sebelum ini di bawah Program Perumahan Generasi Kedua Felda, beliau telah mengumumkan penurunan harga rumah dari RM120,000 kepada RM90,000 untuk pembinaan kira-kira 20,000 unit rumah untuk generasi kedua peneroka.  
 
"Pada masa akan datang, kita akan bina lebih banyak rumah dalam lingkungan RM60,000 ke RM70,000, kita kurangkan sedikit bahan dan reka bentuk daripada 1,100 kaki persegi kepada 850 kaki persegi, yang mustahak rumah mampu disewa dan dibeli generasi kedua Felda," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2015 bertema "Mensyukuri Nikmat" di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini. 
 
Najib berkata beliau yakin program baharu itu akan mendapat sambutan yang baik daripada anak-anak peneroka Felda yang masih lagi mencari rumah sendiri. 
 
Menurutnya apa yang dilakukan kerajaan untuk golongan peneroka Felda hari ini adalah sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. 
 
Najib berkata kerajaan banyak membantu golongan peneroka Felda kerana mereka adalah kumpulan yang tahu menilai erti "mensyukuri nikmat" yang diperoleh mereka hari ini.
 
Katanya peneroka Felda sedar sejak 59 tahun lalu, hanya kerajaan sedia ada hari ini yang mampu mengubah nasib mereka di kawasan luar bandar. 
 
"Sebab yakin kerajaan boleh membantu mereka, hari ini mereka menuai, dulu merangkak bertatih, kini kita mampu bersaing di peringkat dunia, siapa berjasa kepada peneroka Felda, adakah yang buat perhimpunan Bersih 4 itu nak bantu orang di luar bandar...tidak," katanya. 
 
Selain bantuan projek perumahan, beliau berkata banyak lagi bantuan kerajaan untuk generasi baharu golongan peneroka Felda akan dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan dalam bajet 2015 seperti bantuan pengajian tinggi generasi baru RM51.5 juta dan banyak lagi bantuan lain. 
 
"Di bawah program dana khas pelajar cemerlang Felda, seramai 11 anak, cucu dan kakitangan peneroka Felda mendapat tempat di beberapa universiti terkemuka di luar negara termasuk tiga orang dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons di Ireland," katanya. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: