HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2015

Merdeka 58 tahun, kajian tunjukkan rakyat bosan skandal politik, ingin perubahan



Kaji selidik menunjukkan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan  akan dialu-alukan kebanyakan rakyat Malaysia demi melihat kesejahteraan negara yang dicintai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.Kaji selidik menunjukkan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan akan dialu-alukan kebanyakan rakyat Malaysia demi melihat kesejahteraan negara yang dicintai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 
 
 
 
Sejumlah besar majoriti rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam satu kaji selidik baru-baru ini berkata, mereka mahu perubahan kerajaan dan kepimpinan ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-58 hari ini, menunjukkan kebimbangan rakyat terhadap situasi terkini politik negara.

Kaji selidik atas talian dijalankan The Malaysian Insider menunjukkan 67% responden mahu perubahan dalam kerajaan, sementara 22% mahu kepimpinan lebih baik. Sejumlah 9% pula berkata mereka mengharapkan prospek ekonomi yang lebih baik.

Sebanyak 66% mengakui mereka bimbang dengan keadaan hal ehwal negara pada masa ini, sementara 14% bersedih. Hanya 13% yang terlibat merasa gembira dengan keadaan sekarang.

Penganalisis memberitahu The Malaysian Insider, ini menunjukkan kebanyakan rakyat tidak gembira dengan skandal politik dan mengalu-alukan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan. “Gabungan 80% rakyat sama ada bimbang atau sedih untuk negara. Seseorang itu pada awalnya akan berfikir ini adalah kesan ekonomi yang lemah dan skandal politik, tetapi hampir 90% sebenarnya mahukan perubahan kerajaan atau kepimpinan lebih baik, dengan kurang 10% mahu prospek ekonomi lebih baik,” kata Penganalisis Politik Dr Oh Ei Sun dari S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.

“Ini menunjukkan rakyat faham, paling penting dalam mendorong pembentukan negara Malaysia ialah politik dan bukan ekonomi, dan politik mendorong ekonomi, dan bukan sebaliknya.

“Mereka percaya dengan menyelesaikan krisis politik terlebih dulu, ekonomi kemudiannya akan pulih sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Sejumlah 8,922 pembaca mengambil bahagian dalam kaji selidik itu, yang dikendalikan di laman web The Malaysian Insider dari 20 Ogos hingga 29 Ogos.

Tiga soalan diletakkan di kaji selidik atas talian itu. Soalan pertama ialah “Apa satu harapan anda untuk negara ini?”.

Kedua ialah “Bagaimana perasaan anda ketika Malaysia menyambut Merdeka?” dan ketiga ialah “Apa satu masalah yang anda harap dapat diselesaikan sebelum merdeka?”.

Sebanyak 33% berkata mereka mahu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diselesaikan, sementara 26% berkata kejatuhan nilai ringgit.

Selebihnya, 24% mahukan masalah perpecahan bangsa dan agama yang makin meningkat diselesaikan, dan 17% pengundi bimbang dengan terhakisnya kebebasan bersuara.

Pengarah Centre of Public Initiative Dr Lim Teck Ghee (gambar, kiri) berkata kaji selidik itu menunjukkan perubahan dalam kerajaan dan kepimpinan – apa juga perubahan – akan dialu-alukan kebanyakan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia sangat bosan dengan skandal yang tiada penyelesaian dan peningkatan dalam pertelingkahan antara bangsa dan agama.

“Dapatan yang hanya 13% rakyat Malaysia gembira menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-58 negara amat membimbangkan kerana ia menunjukkan mood majoriti besar rakyat kita pesimis, tidak berpuas hati dan tidak bersemangat,” kata Lim.

Keputusan kaji selidik itu dikeluarkan serentak dengan ribuan rakyat Malaysia yang berkumpul di jalanan di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, reformasi institusi, kerajaan bersih, hak untuk memprotes dan langkah menyelamatkan ekonomi.

Najib dikritik teruk sejak beberapa bulan ini berikutan tuduhan pembabitannya dengan skandal syarikat sarat hutang 1MDB selain pendedahan RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Beliau yang juga presiden Umno itu  baru-baru ini mendakwa beliau dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada tuduhan rasuah melibatkan wang AS$700 juta atau RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, yang beliau sendiri sering ulangi merupakan sumbangan untuk Umno, bukan untuk kegunaan peribadinya.

Laporan SPRM selanjutnya mengesahkan wang itu adalah sumbangan dana politik dari penderma di Timur Tengah.


Tiada ulasan: