HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2015

Dr Mahathir sudah tidak konsisten

Salleh Said Keruak
Datuk Seri Salleh Said Keruak
 
 
SUNGAI BESAR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Kuala Lumpur, petang kelmarin sebagai menyokong perhimpunan haram dan memberi galakan tidak sihat kepada masyarakat.

Beliau berkata, kehadiran Dr Mahathir pada perhimpunan itu sebagai tidak konsisten dengan kenyataannya ketika menjadi perdana menteri.

“Ini bererti Dr Mahathir sudah berubah pendirian. Saya masih ingat pada tahun 1998 bila banyak demonstrasi pada ketika itu, beliau membuat kenyataan budaya berhimpun ini adalah budaya asing.

“Sebagai seorang patriotik, sepatutnya beliau tak boleh berbuat demikian. Walaupun beliau di situ 10 minit, tetapi beliau menggalakkan budaya seperti ini, ini bukan budaya kita,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, semalam.

Mohd Salleh menegaskan, meskipun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, namun turun ke jalan raya untuk tujuan demonstrasi bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah.

“Kita bebas memberikan pendapat dan pandangan, tetapi kita tak boleh menggalakkan rakyat mengadakan demonstrasi sedemikian. 

“Bayangkan jika anak kecil dibawa ke situ, tidur di merata-rata tempat seperti di tengah jalan dan tepi kedai, apakah ini budaya kita? Kenapa kita masukkan satu budaya yang asing pada kita?

“Sepatutnya kita sama-sama raikan hari merdeka bukan sahaja pada hari esok (hari ini), tetapi sebelum kemuncaknya kita raikan suasana yang melambangkan negara ini negara yang kita bangga,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: