HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2015

Laungan Merdeka sebenar apabila menteri wartakan rakyat penjenayah


 



 

Oleh Wong Chin Huat


Apakah makna kemerdekaan apabila menteri boleh menandatangani satu perintah untuk mewartakan jutaan rakyat sebagai “penjenayah”?  Ini yang berlaku tiga hari sebelum Hari Kemerdekaan ke-58 untuk Semenanjung dan Hari Kemerdekaan ke-52 untuk Sabah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan satu perintah di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) yang mengharamkan
  • Apa-apa pakaian berwarna kuning dan yang mempunyai perkataan “Bersih 4”
  • Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan “Bersih 4”
Di bawah Seksyen 8 Akta yang sama, kita boleh didenda sebanyak RM 3,000 kerana memiliki sehelai (Seksyen 8), seterusnya boleh didenda sehingga RM 20,000 dan dipenjarakan sehingga 3 tahun jika kita mempunyai dua atau lebih helai, yang memenuhi definisi “penjualan, pengelilingan dan pengedaran” (Seksyen 14).





 Mengikut anggaran saya, sekurang-kurangnya 50,000-60,000 kemeja Bersih 4 yang beraneka rekaan sudah dijual di seluruh negara.

Apakah kesemua pemilik mereka sekarang menjadi “jenayah baru” ciptaan Zahid jika tidak membinasakan atau membuangkan baju milikan mereka?

Bagaimana pula  dengan bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4?

Di bawah Seksyen 2, sebarangan penerbitan yang dilarang di bawah Seksyen 7(1) dinamakan “hasil penerbitan”  dan merangkumi sebarang “salinan, penghasilan semula, cabutan atau apa-apa terjemahan, ringkasan karangan dan parafrasanya”.


Kalau ada yang masih tertanya-tanya mengapa kemeja boleh dikawal PPPA, ini kerana “penerbitan” diberi definisi yang cukup luas, sebarangan yang “mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat” atau “boleh membayangkan kata-kata atau idea” termasuk “rakaman suara”.

Dalam kata lain, PPPA cukup untuk digunapakai untuk sebarangan benda yang berinteraksi dengan mata, telinga dan otak kita. Di samping Akta Komunikasi dan Multimedia, ia juga boleh digunakan untuk mengawal dan menapis Internet dan media sosial.


Secara teknikalnya, anda sudah melayakkan diri sebagai “penjenayah baru” jika anda memiliki sebarangan bahan tulisan dan lukisan yang anda miliki yang boleh ‘mendorong kepada perhimpunan “Bersih 4” yang boleh dikira sebagai salinan, penghasilan semula, cabutan, terjemahan, ringkasan karangan atau parafrasa daripada kemeja atau bahan bercetak Bersih 4.

Periksalah sekarang sama ada anda menyimpan dalam telefon bimbit anda apa-apa gambar kemeja Bersih 4?

Kalau ya, tahniah, anda sekarang sudah layak menjadi “penjenayah”, bersama jutaan rakyat Malaysia yang lain kerana menyokong Bersih 4.

Jadi, apakah akan anda lakukan?  Binasakan sebarang “penerbitan” Bersih 4 untuk melepaskan diri daripada jaringan Zahid?

Ataupun, anda akan mempersoalkan apakah asasnya untuk seseorang menteri mempunyai kuasa yang begitu besar untuk sewenang-wenangnya mengharamkan sesuatu dan “mewartakan” jutaan rakyat sebagai “penjenayah”?

Bukankah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan kita “bercakap” dan “berhimpun secara aman dan tanpa senjata” dan membenarkan sekatan kepada kebebasan ini atas asas yang amat terhad seperti keselamatan negara, ketenteraman awam, prinsip moral dan sebagainya?

Sekalipun Seksyen 7(1) PPPA yang zalim itu menghadkan penggunaannya kepada apa jua yang memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan; menggemparkan fikiran orang ramai atau berlawanan dengan mana-mana undang-undang; memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.

Persoalan kita, apa dalam perhimpunan atau tuntutan Bersih 4 yang memenuhi syarat-syarat ini?
Suhakam sudah menjelaskan persoalan perhimpunan haram tidak wujud.

Apakah salahnya lima tuntutan Bersih 4 – pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen dan selamatkan ekonomi?
Apakah mereka memudaratkan ketenteraman awam?
Ataupun mereka menjatuhkan kemoralan?
Ataupun mengancam keselamatan?
Ataupun menggemparkan fikiran orang ramai?
Ataupun berlawanan dengan mana-mana undang-undang?
Ataupun memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara?

Saya akan pakai kemeja Bersih 4 saya dalam perhimpunan Bersih 34 jam. Saya tidak akan tunduk kepada kezaliman menteri yang bermaharajalela, menghina perlembagaan dan memijak rakyat jelata.

Kemerdekaan bukan sekadar tukar pemerintah daripada orang asing kepada orang sebangsa.
Kemerdekaan sebenar hanya wujud apabila rakyat menjadi tuan di atas bumi sendiri dan menjadi bos kepada pemerintah.

Saya akan membela kemerdekaan Malaysia. Bukan daripada penjajah asing. Tetapi daripada pemerintah yang mengkhianati dan menzalimi rakyat.

Saya tidak bersenjatakan apa kecuali bendera Malaysia, Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi pedoman perjuangan saya dan akhirnya cinta saya kepada tanah air.

Saya tidak berhasrat untuk menggulingkan pemerintah tetapi sebaliknya sekadar ingin membetulkan yang salah dan meluruskan yang bengkok dalam demokrasi berparlimen.

Jasad saya boleh dikurung tetapi tidak semangat saya.
Tulang saya boleh dipatahkan tetapi tidak iktizam saya.
Di mana bumi dipijak, di sana langit dijunjung.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Tiada ulasan: