HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2015

Bersih 4.0 sedia disiasat pihak berkuasa‎

Bersih 4.0 sedia disiasat pihak berkuasa‎
Marina (duduk, tiga dari kiri) selepas sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.
 
 
KUALA LUMPUR - Penganjur perhimpunan Bersih 4.0 bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa.
 
Pengerusi Bersih, Marina Chin Abdullah berkata, pihaknya bersedia dengan apa-apa kemungkinan ataupun  tindakan yang bakal diambil.
 
"Sekiranya dipanggil oleh pihak berkuasa untuk memberi keterangan, saya sedia untuk bekerjasama," katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
 
Menurutnya, beliau yakin perhimpunan tersebut berlangsung mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
 
Setakat ini, katanya, beliau belum dihubungi polis untuk memberikan keterangan berkaitan perhimpunan itu.
 
Dalam pada itu, Marina berkata, pihaknya berharap cadangan berkaitan isu undi tidak percaya kepada Perdana Menteri akan disokong oleh mana-mana ahli Parlimen.
 
"Sekiranya Perdana Menteri meletakkan jawatan, kami minta supaya sebuah kerajaan transisi (peralihan) ditubuhkan dan pilihanraya umum dijalankan dalam tempoh lapan hingga 12 bulan," katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersih cawangan Malaysia Selatan, Thomas Fann berkata, pihaknya kesal dengan beberapa insiden yang berlaku sepanjang perhimpunan itu diadakan.
 
Di antara kejadian yang berlaku ialah insiden keracunan makanan, kereta salah seorang peserta terbakar dan letupan kecil yang mencederakan dua orang peserta.
 
"Kami sudah membuat laporan polis terhadap kesemua insiden ini dan polis kini sedang menjalankan siasatan ke atas kesemua kes ini.
 
Kami sedang mengikuti perkembangan semua kes ini dan berharap semua kes ini dapat diselesaikan," katanya. 


Tiada ulasan: