Peserta Bersih 4 cetek minda, kata Najib selepas Dr Mahathir beri sokongan
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata peserta perhimpunan Bersih 4
yang diadakan di ibu kota cetek minda. – Gambar fail The Malaysian
Insider. Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak menyifatkan peserta perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di ibu kota
sebagai cetek minda, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad hadir 2 hari
berturut-turut memberikan sokongan.
Najib semasa menyampaikan amanat Hari Kebangsaan membidas tindakan
orang ramai yang menyertai demonstrasi tersebut sebagai tidak wajar.
"Seperti diketahui sehari dua yang berlaku ini adalah sungguh tidak
wajar kerana ia mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat
kebangsaan," kata Najib ketika berucap di Kuala Lumpur Convention Center
(KLCC), malam ini.
Beliau juga menegaskan kerajaan menolak sebarang demonstrasi jalanan kerana ia hanya menyusahkan rakyat.
"Kita menolak sebarang demonstrasi jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Ia hanya menyusahkan rakyat kerana ia tidak langsung mencerminkan
kematangan bahkan sebagai saluran yang betul untuk pandangan dalam
sebuah negara demokrasi," katanya.
Malah, Najib juga menggunakan hujah mufti Kelantan yang mengisytiharkan
demonstrasi tersebut sebagai haram untuk mengecam penganjuran Bersih 4.
"Mufti Kelantan sendiri menyatakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan Bersih 4 hukumnya haram di sisi agama Islam," katanya.
Mengenai tekanan dan desakan yang dihadapinya, Najib berkata sedia
mempertahankan negara daripada pengkhianat yang mahu memusnahkannya.
"Tetapi, saya berdiri di sini, sebagaimana saudara dan saudari semua,
dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan
ingin menyatakan dengan tegas negara serta tanah air ini milik setiap
seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapapun menjadi
dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya," katanya.
Beliau juga melahirkan kekecewaan berhubung dengan demonstrasi tersebut
yang diadakan pada ambang kemerdekaan yang disifatkan usaha untuk
mewujudkan persengketaan.
"Akan tetapi, sayang seribu kali sayang pada ambang kemerdekaan yang
penuh bermakna ini ada segelintir pihak yang sanggup dan tergamak
mencetuskan bibit-bibit persengketaan dan api bermusuhan," katanya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai bersatu padu supaya kelak negara yang dibina tidak berdepan kehancuran dan musnah.
"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan
hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan
segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur dan
musnah begitu saja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan