OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Baiah
yang dilafazkan wakil rakyat PAS ketika pilihan raya umum lalu terbatal
apabila Pakatan Rakyat terkubur, kata Penasihat Parti Pekerja Ahmad
Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider. Baiah
yang pernah dilafazkan wakil rakyat PAS meninggalkan parti itu untuk
menubuhkan parti baharu tidak lagi sah selepas Pakatan Rakyat (PR)
secara rasminya terkubur, kata Ahmad Awang.
Penasihat Parti Pekerja itu berkata wakil rakyat yang menyertai parti
itu tidak perlu bimbang kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya umum
lalu hasil kerjasama Pakatan Rakyat (PR) dan bukan atas faktor PAS
semata-mata.
“Oleh kerana kemenangan mereka dulu atas nama PR dan ketika berbaiah
sebagai calon walaupun atas nama parti tetapi hakikatnya atas PR.
“Sekarang PR dah roboh maka tidak sah lagi apa yang terikat dalam baiah
tersebut,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur.
Ahmad berkata kemenangan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) lalu
terbukti mendapat sokongan luar apabila ramai penyokong DAP turut sama
pulang mengundi calon parti Islam itu.
“Calon PAS yang menggunakan lambang bulan bertanding bukan atas nama PAS sendirian tetapi nama PR.
“Sebab itu di mana DAP tidak bertanding seorang calon pun seperti di
Terengganu tetapi DAP mendukung calon PAS sehingga penyokong DAP
daripada kaum Cina balik ke negeri sejauhnya datang dari Amerika
Syarikat, United Kingdom, Australia, Hong Kong dan Singapura menyebabkan
PAS boleh menang kerusi yang dulu kalah,” katanya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengingatkan wakil
rakyat yang menang dalam pilihan raya umum pada 2013 atas tiket PAS
perlu mengosongkan kerusi jika mereka menyertai parti baharu yang
dirancang kumpulan serpihan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Katanya, mereka yang menyertai Parti Amanah Rakyat, yang dijangka
dilancarkan pada Hari Kebangsaan, perlu meletak jawatan sebagai wakil
rakyat kerana melanggar sumpah baiah kepada parti Islam itu.
"Terpulang kepada maruah mereka. Mereka membuat sumpah baiah sebagai wakil rakyat PAS.
"Mereka mengangkat sumpah, berjanji. Jadi, mereka sepatutnya meletak jawatan dan kosongkan kerusi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan