HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2015

GHB ambil alih parti tak aktif

Adrian Wong





Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan bahawa kumpulan itu akan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan menamakannya semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua GHB Mohamad Sabu berkata, butiran lanjut akan diumumkan pada pelancaran rasmi pada 16 September ini.

Mohamad, ketua protem parti baru, berkata parti baru itu menjangkakan seramai 35,000 ahli menjelang pelancarannya.

Beliau menjelaskan bahawa kesukaran untuk menubuhkan parti baru maka GHB memutuskan untuk mengambil alih parti yang tak aktif.

"Pada tanggal keramat hari ini, kami, Gerakan Harapan Baru (GHB) secara rasminya mengumumkan bahawa kami telah pun memutuskan untuk muncul melalui sebuah parti politik golongan pekerja dengan mengekalkan namanya "Parti Pekerja".

"Ada pun pindaan nama serta perlembagaan parti akan kita dikemukakan kepada ROS (perdaftar pertubuhan) selepas diputuskan bersama," katanya dalam sidang media petang ini.

Parti Pekerja Malaysia ditubuhkan pada 1978 oleh Ganga Nayar, wanita pertama yang mengetuai parti politik di Malaysia. parti itu hanya menyertai satu pilihan raya umum ada 1978.

Mohamad akan mengetuai jawatankuasa penaja parti baru itu dengan bekas naib presiden PAS Salahuddyin Ayub sebagai timbalannya dan bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang sebagai penasihat.[Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Mat Sabu berkata, kesemua keanggotaan mereka dalam PAS secara rasminya gugur sejurus HB mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia.

Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI), sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS menolak permohonan itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, sebelum ini dilaporkan berkata bahawa permohonan itu ditolak kerana Islam adalah hak untuk semua orang yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan.

Pada sidang media sama, Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang sebagai penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai naib pengerusi, anggota Parlimen Kota Raja Dr Mariah Ahmad sebagai ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda.

Selain itu, turut dilantik dalam jawatankuasa itu ialah Mohd Anuar Mohd Tahir sebagai setiausaha agung, Asmuwi Ani sebagai bendahari agung dan bekas ketua pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.

Sementara itu, antara bekas pemimpin PAS yang tersenarai sebagai anggota jawatankuasa Amanah ialah anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli, anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, anggota Parlimen Sepang Mohd Hanifa Maidin, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin, dan Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Mat Sabu berkata, pihaknya menjangkakan seramai 35,000 anggota akan didaftarkan menjelang pelancaran rasmi parti itu pada September depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menunggu kelulusan RoS sebelum mula membincangkan dengan DAP dan PKR tentang penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Selain itu, mereka juga akan melihat perkembangan terkini mengenai situasi di Sarawak sebelum memutuskan untuk bertanding atau tidak dalam pilihan raya negeri yang dijangka dalam masa terdekat.

Tambahnya, buat masa ini, Amanah akan mengadakan kerjasama politik dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan yang masing-masing dipimpin DAP, PKR dan PAS.


Tiada ulasan: