Pihak polis sedang menyiasat insiden gambar Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipijak
semasa perhimpunan Bersih 4, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa mengesahkan perkara itu.
"Kes tersebut masih di dalam siasatan," katanya kepada Sinar Harian.
Foto yang tersebar luas di laman sosial sejak pagi semalam itu turut
mempamerkan kapsyen "Kurang ajar upacara pijak gambar Tuan Guru."
Dilaporkan, polis menerima 27 laporan mengenai perhimpunan Bersih 4
sehingga jam 10.45 malam tadi dan membuka 5 kertas siasatan.
Tajudin berkata 14 daripada laporan itu dibuat kelmarin dan selebihnya dibuat semalam.
Beliau berkata seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di Dataran
Merdeka semalam kerana berkelakuan lucah dan gagal menunjukkan kad
pengenalan.
Hampir tengah malam, bilangan mereka yang berhimpun semakin ramai di
Dataran Merdeka ketika mereka mendengar ucapan dan menyanyi sambil
menari.
Bagaimanapun, Tajudin berkata keadaan masih terkawal dan polis berada
dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Perhimpunan Bersih 4 selama 2 hari anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih
dan Adil (Bersih 2.0) yang diisytiharkan haram oleh polis antara lain
menuntut pilihan raya bersih dan adil serta sebuah kerajaan yang bersih.
Di Kuching dan Kota Kinabalu, penganjur menghentikan perhimpunan
masing-masing pada tengah malam kelmarin dan tengah hari semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan