HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2015

PM: Umno perlu pemimpin disenangi untuk menang PRU

MALAYSIAKINI
 
 
 


Umno memerlukan lebih ramai pemimpin dan calon pemimpin yang memiliki kriteria mudah disenangi serta boleh menyesuaikan diri dengan rakyat dan persekitaran bagi memastikan parti itu dapat meraih kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata bagi rakyat, adalah penting untuk mempunyai pemimpin yang boleh membantu mereka dalam apa jua keadaan tanpa mengira masa terutamanya ketika ditimpa bencana.

"Macam mana nak jadi likeable (disenangi)... kita kena beri service (perkhdimatan) kepada rakyat dalam apa jua keadaan.

"Kalau Umno berjaya tonjolkan pemimpin dan bakal calon yang mempunyai ciri-ciri seperti ini, maka peratusan kita untuk menang adalah lebih tinggi," katanya.

Najib yang juga perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Temerloh dan Jamuan Rakyat di Dataran Bahaman, Lanchang dekat Temerloh hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang merangkap pengerusi badan perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri
Adnan Yaakob dan Timbalannya yang juga Ketua Umno bahagian Temerloh Datuk Seri Sharkar Shamsuddin.

Terdahulu, perdana menteri disambut meriah oleh lebih 5,000 hadirin serta pemimpin dan anggota Umno bahagian Temerloh.

Najib berkata jika Umno mempunyai ramai pemimpin yang mempunyai ciri-ciri berkenaan, mudah bagi pemimpin parti mengetengahkan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

"Seseorang pemimpin itu mestilah yang senang didekati dan boleh ditarik ke atas ke bawah... macam saya, tiada masalah untuk beri ucapan di Persidangan Bangsa Bersatu bersama-sama Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama.

"Dalam masa yang sama, saya juga tidak kekok untuk bersila bersama rakyat di surau-surau kampung," kata beliau.

Pada masa sama, Najib menyeru ahli Umno supaya mengamalkan konsep 5S iaitu setia, servis (khidmat), santun, semangat dan solidariti bagi perkukuhkan parti.

Beliau berkata dalam keadaan parti kini menghadapi cabaran getir dari pihak lawan, pemimpin-pemimpin Umno perlu terus menunjukkan kesetiaan dan kebersatuan kepada parti selain mempunyai semangat kental bagi menghadapi tentangan musuh secara habis-habisan.

"Pemimpin Umno perlu sentiasa bersemangat, jangan sesekali lemah semangat walaupun diserang pihak lawan dari kiri dan kanan, lawan tetap lawan. Kesetiaan perlu ada kerana setia adalah asas kepada perjuangan.

"Jika seorang pemimpin itu seorang yang cerdik tetapi tidak setia, ada pula pemimpin yang kurang cerdik tapi setia, saya akan pilih pemimpin yang setia pada parti," katanya.

Najib berkata kesantunan dalam parti juga perlu dijaga bagi memastikan perpaduan dalam kalangan ahli parti terus kukuh dan imej parti tidak tercalar.

"Yang penting ialah perjuangan kita bersama Umno, jika ada kesantunan, selamatlah kita (bersama Umno)," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: