Patriot sebenar berani lawan kezaliman, undur jika tak amanah, kata Wan Azizah
Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut sama menyertai himpunan Bersih 4
hujung minggu lalu. Beliau berkata, janji kemerdekaan dan pengorbanan
semua patriot lebih bermakna apabila semua bersatu sehati sejiwa untuk
membersihkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider. Patriot
kemerdekaan sebenar adalah mereka yang berani kerana benar berdiri
menentang kezaliman pihak berkuasa dan insaf berundur bila sudah jauh
dari pangkal jalan amanah pemerintahan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail.
Melalui amanat sempena Hari Kemerdekaan hari ini, ketua pembangkang itu
berkata, janji kemerdekaan dan pengorbanan semua patriot akan lebih
bermakna dan impian rakyat akan hanya tercapai apabila semua bersatu
sehati sejiwa untuk membersihkan negara.
Malah beliau berkata, tema kemerdekaan tahun ini, "Sehati Sejiwa", juga
membawa maksud tersurat dan tersirat tentang perpaduan, kasih sayang,
mahabbah serta muhibah, kesaksamaan berpaksikan kerohanian yang
mencerminkan kebaikan, keadilan dan kebenaran.
"Dan jika diselami maksud suatu kemerdekaan, ia bererti kita bebas
merdeka daripada semua bentuk penjajahan asing mahupun watan sendiri;
dapat menentukan hala tuju negara melalui pilihan raya yang bersih,
telus dan adil; memiliki sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah;
menikmati kemakmuran ekonomi bersama dan media bersuara benar," katanya. "Ia harus dilihat sebagai tarikh mengukur pengisian suatu kemerdekaan – sama ada janji dan jaminan asas dan dasar dipenuhi.
"Janji kemerdekaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan
janji kesatuan yang tertulis dalam Perjanjian Malaysia dipenuhi,"
katanya.
Beliau berkata, tema kemerdekaan itu juga membawa erti rakyat Malaysia
harus bebas merdeka untuk hidup tanpa ditindas, difitnah, diugut,
dikecam, dicerca, dipecahbelahkan dan dimiskinkan.
"Dengan hak-hak kewarganegaraan yang dijamin suatu perjanjian
kenegaraan atau ‘aqadun daulah’ iaitu Perlembagaan Persekutuan dalam
sebuah demokrasi," katanya.
"Jika diukur dengan usia manusia 58 tahun, ia adalah umur seorang insan
yang sudah dewasa, matang penuh hikmah dan seharusnya lebih
bertanggungjawab ketika melangkah masuk ambang senja kehidupan dengan
menyediakan warisan peninggalan terbaik untuk anak cucu, generasi masa
depan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan