HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2015

Penganjur Bersih tagih populariti, perhatian

SINAR HARIAN


Bersih 4


KUALA LUMPUR - Tindakan penganjur mengadakan perhimpunan haram Bersih 4 selama dua hari berturut-turut mulai esok, hanyalah bertujuan menagih populariti dan perhatian rakyat, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata keputusan itu secara langsung memperlihatkan sikap sebenar golongan berkenaan yang tidak menghormati Hari Kebangsaan 2015 yang disambut pada Isnin ini.

"Tarikh itu adalah hujung minggu dan cuti umum, jadi penganjur mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan haram tersebut kerana ketika inilah orang ramai akan keluar dan meluangkan hari cuti bersama keluarga.

"Namun niat penganjur sebenarnya hanya ingin mencetuskan keadaan huru-hara supaya masyarakat dunia dapat melihat suasana kacau-bilau dan kelantangan mereka bersuara, yang kononnya atas nama keadilan untuk rakyat," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, polis menegaskan bahawa Bersih 4 adalah haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012. Penganjur juga tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata perhimpunan haram itu akan diadakan untuk membuktikan kesepakatan dalam parti pembangkang, sekali gus ingin memberi tekanan kepada kerajaan sedia ada.

    Namun realitinya, kata beliau kesepakatan anggota dalam pembangkang sudah semakin goyah.

    Hakikatnya, pembangkang sudah tidak sekata kerana ada antara mereka sendiri yang tidak bersetuju dengan Bersih 4.

    Ahmad Atory memberi contoh, parti Pas yang bukan sahaja tidak memberikan apa-apa persetujuan malah tidak bersama dalam perhimpunan haram itu.

    "Pada perhimpunan Bersih sebelum ini Pas turut serta tetapi kali ini yang bersungguh-sungguh mahu sertai Bersih 4 ini adalah DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru," ujarnya.

    Ahmad Atory khuatir bahawa perhimpunan haram itu akan memberi kesan terhadap keadaan ekonomi negara, selain memburukkan lagi kejatuhan nilai Ringgit yang sememangnya sudah menyusut.

    Ahmad Atory menegaskan bahawa perhimpunan haram bukanlah cara mencari jalan penyelesaian sebaliknya pihak terbabit hendaklah menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan.

    Bersih 4 dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka selama 34 jam mulai 2 petang esok. Perhimpunan serupa juga akan diadakan serentak di Kuching dan Kota Kinabalu.

    Berdasarkan kedegilan untuk tetap mengadakan perhimpunan haram itu, apakah  jaminan penganjur Bersih 4.0 bahawa peserta tunjuk perasaan itu tidak akan merempuhi hadangan-hadangan pihak polis mahu pun mencerobohi Dataran Merdeka, boleh diharapkan?

    Benarkah mereka tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejas atau mencemar sambutan Hari Kebangsaan di ibu negara pada Isnin seperti yang dijanjikan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah? -Bernama


Tiada ulasan: