KUALA LUMPUR, Ketika peserta himpunan Bersih 4 sibuk berarak di sekitar ibu negara, seorang warga emas pula sibuk mengutip tin-tin minuman yang dibuang orang ramai.


Kebiasaannya, wanita berusia 60 tahun itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Aunty Jenny boleh mengutip sehingga dua kilogram tin kosong, tetapi semalam kutipannya mencecah enam kilogram.

“Satu kilo tin yang dijual boleh dapat pulangan sebanyak RM4, tetapi pendapatan saya tidak menentu, bergantung kepada jumlah tin yang mampu saya kumpul.

“Saya selalu kutip tin di sekitar Kuala Lumpur. Ada kalanya banyak, tapi hari ini (semalam) saya dapat kutip lebih banyak daripada hari biasa.

“Mungkin kerana ramai yang datang menyertai himpunan Bersih,” katanya ketika ditemui di Pasar Seni, semalam.

Dia bersama anak lelakinya sanggup berjalan kaki sejauh lima hingga sepuluh kilometer setiap hari, semata-mata hendak mencari tin kosong untuk dijual bagi menyara kehidupan keluarganya.

Tin kosong yang dikutipnya akan dijual di sebuah pusat kitar semula di Brickfields.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur sudah 20 tahun dan dulu saya kerja cuci pinggan dan mengemas dapur di restoran.

“Sekarang sudah tua, tidak ada lagi orang yang hendak mengupah saya. Sebab itu, saya cari makan sikit-sikit dengan mengutip tin.

“Saya tidak pernah rasa malu, walau terpaksa selongkar tong sampah untuk mencari tin kosong, kerana ia bernilai dan mampu menjana pendapatan untuk saya,” katanya.