KUALA LUMPUR - "Kami berhimpun kerana sayangkan anak-anak Malaysia
termasuk anak polis". Demikian pesanan Menteri Besar Selangor, Mohamed
Azmin Ali kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, hari ini.
Menurut Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu, peserta yang
terlibat Bersih tidak mempunyai kepentingan lain melainkan untuk
menyelamatkan anak-anak Malaysia daripada perasuah dan perompak.
"Kita nak beritahu polis tersebut, kita nak beritahu ketua polis negara, dengar baik-baik.
"Wahai KBAB (Twitter Khalid, @KBAB51), kami berhimpun kerana kami
sayang anak kami. Kita sayang anak-anak Malaysia, kita nak selamatkan
mereka.
"Kita tidak ada kepentingan lain melainkan selamat(kan) anak Malaysia
termasuk anak polis dan keluarga polis daripada perasuah dan perompak,"
katanya ketika berucap di hadapan peserta Bersih 4.0 di kompleks beli
belah, Sogo.
Melalui ucapan sama, Azmin sempat menyindir Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri
berhubung pengharaman baju Bersih yang berwarna kuning, semalam.
"Kita lihat timbalan perdana menteri yang baharu mendapat jawatan,
dengan baju warna kuning pun takut, nombor empat pun takut. Inilah jenis
TPM yang ada dalam negara kita.
"Inilah masalah negara kita pada hari ini. Kita dipimpin oleh mereka yang tidak ada maruah, yang tidak amanah," katanya.
Tegasnya, negara hari ini sedang berdepan dengan suasana ekonomi yang parah.
"Nilai ringgit sudah merudum. Ringgit sudah tidak ada nilai sebab
Putrajaya sudah tidak ada nilai. Kita kena bangkit, humban mereka
daripada Putrajaya.
"Saya ucapkan tahniah kepada semua. Jangan takut, jangan gentar.
Selepas ini kita akan bergerak secara aman. Nampaknya pihak polis pun
berkawal dengan baik sebabnya (mereka) tahu, inilah minggu terakhir
Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan Rosmah (isteri
Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor) di Putrajaya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan