HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Ogos 2015

Jangan perkecil hukum ALLAH

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria 
 
 
SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya tidak memperkecilkan hukum ALLAH.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Azalina bahawa adegan pasangan bercinta berpegangan tangan dan berpelukan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat adalah jahil dan tidak patut dikeluarkan oleh seorang menteri.

“Baru sehari dua naik sebagai menteri dah keluarkan kenyataan tidak munasabah. Saya suka ingatkan menteri, timbalan menteri dan ahli exco negeri, mereka telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong atau sultan untuk pegang jawatan berlandaskan kepada Perlembagaan dan mereka bersumpah dengan nama ALLAH untuk mempertahankan Perlembagaan.

“Perlembagaan menyatakan agama di negara ini adalah Islam. Maka, janganlah mereka sesekali mengejek dan memperkecilkan hukum ALLAH. Jika tidak, maknanya mereka melanggar sumpah,” katanya.

Sekiranya mereka melanggar sumpah, katanya, mereka akan menerima laknat daripada ALLAH.

“Saya nasihati (mereka) jangan melampau. Islam berdasarkan kepada iman. Iman itu boleh diukur berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan. Selepas itu disusuli syariat dan berdasarkan firman ALLAH dan hadis nabi. Jadi, tidak boleh keluarkan kenyataan secara akal atau logik kerana ia adalah hukum ALLAH.

“Akal dikawal oleh nafsu dan ia dipengaruhi oleh syaitan. Jangan beraja dengan nafsu dan komen tidak tentu hala.

“Seorang menteri Islam wajib mengamalkan amar makruf nahi mungkar, atau dalam bahasa senang difahami menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan," katanya.

Beliau juga mengingatkan menteri dan sebagainya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sesuatu isu sekiranya mereka tidak arif dalam isu berkenaan.

“Filem sekarang ini sudah lebih daripada melampau, membabitkan adegan berpelukan dan sebagainya. Ini semua sudah jatuh hukum haram,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kenyataan Azalina itu akan memudaratkan masyarakat dan mengurangkan kredibiliti institusi kerajaan.

“Dalam Islam, jika adegan dalam sesuatu filem itu bersentuhan dengan bukan muhrim, dikira berdosa walaupun dikatakan atas dasar lakonan.

"Kalau sesuatu adegan dalam filem berkaitan jenayah merompak dan membunuh, tak kan kerajaan nak kata tidak mengapa, (kerana) itu berlakon sahaja, walhal perkara itu salah," katanya.

Beliau berkata, jika kenyataan yang dikeluarkan Azalina dalam keadaan tidak jahil, maka dia sudah berdosa dan fasik.


Tiada ulasan: